Click Here For Free Blog Templates!!!
Blogaholic Designs

Pages

Monday, April 29, 2013
ISU SEMPADAN KASHMIR


Pendahuluan.

Nama "Kashmir" berasal daripada bahasa Sanskrit iaitu “Ka = air” dan “shimeera “mengering” . Maka Kashmir membawa maksud  “lembah yang dikeringkan airnya”.  Negeri ini dikenal dengan sebutan “Syurga Dunia”, karena keindahan alam yang mempesona di samping kesuburan tanah serta geografinya yang begitu strategik. Keindahan itu digambarkan seperti berikut ;
Sejarah Kashmir yang ditulis oleh Kalhana pada abad ke-12, menyatakan bahawa Lembah Kashmir adalah bekas tasik. Sehingga pertengahan abad ke-19, istilah Kashmir merujuk kepada kawasan lembah antara Himalaya Besar dan banjaran gunung Pir Panjal. Hari ini Kashmir ditadbir oleh tiga negara: India, Pakistan dan Republik Rakyat China. India mentadbir Jammu dan Kashmir (Lembah Kashmir, Jammu dan Ladakh), Pakistan mentadbir kawasan – kawasan utara dan wilayah Azad Kashmir manakala  kawasan yang ditadbir oleh China adalah kawasan Aksai Chin dan laluan Trans-Karakoram. Walaupun kawasan-kawasan tersebut dikuasai oleh ketiga-tiga negara terbabit, tetapi India mahupun Pakistan tidak pernah mengiktiraf pemilikan antara satu sama lain ke atas kawasan – kawasan yang menjadi pertikaian.  Sehingga kini isu perbalahan mengenai wilayah Kashmir di antara Pakistan dan India telah berlarutan lebih enam dekad. Menurut pandangan sarjana isu ini boleh dianggap sebagai antara konflik tanpa penyelesaian paling lama di dunia. Namun begitu menjadi persoalan, apakah asas yang telah menjadi pencetusnya konflik yang tidak berpenghujung di Kashmir.

Konflik-konflik di Kashmir
Perebutan untuk menguasai Kashmir telah mengheret India dan Pakistan terjebak dalam  tiga siri peperangan yang dikategorikan sebagai konflik bersenjata iaitu Perang pertama India-Pakistan 1947, Perang kedua India-Pakistan 1965 dan Perang India-Pakistan pada 1971.
Perang pertama India-Pakistan 1947 tercetus akibat konflik di wilayah Kashmir dan berlaku dari tahun 1947 sampai tahun 1948. Perang kedua India-Pakistan berlaku dari Ogos hingga September 1965 apabila Pakistan melancarkan operasi Gibraltar untuk menyusup dan menyerang Jammu dan Kashmir. Perang yang berlarutan selama lima minggu menyebabkan beribu orang terkorban di kedua-dua belah pihak dan tamat apabila  Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan gencatan senjata. Perang India-Pakistan pada 1971 pula berkaitan Kemerdekaan Bangladesh.
Kashmir juga turut berhadapan dengan konflik senjata nuklear apabila Pakistan dan India masing-masing berlumba-lumba untuk mencipta senjata nuklear. Pada tahun 1972, Ghandi sebagai perdana menteri India telah membenarkan pembinaan peranti letupan nuklear, dan buat pertama kalinya mencuba senjata nuklearnya pada tahun 1974. Walaupun pada mulanya kedua-dua negara ini menafikan pemilikan senjata nuklear namun akhirnya membuat pengakuan  bahawa mereka memiliki senjata tersebut seperti mana kenyataan Gandhi ;
Empat bulan kemudiannya Ghandi mengeluarkan kenyataan :
            Walaupun Majlis Keselamatan PBB tidak memberi kebenaran kepada India dan Pakistan untuk memiliki senjata nuclear namun begitu negara-negara tersebut berkeras untuk tidak tunduk dengan arahan Majlis Keselamatan PBB. India, Pakistan dan Israel termasuk di antara negara yang enggan menandatangani perjanjian pengawalan senjata nuklear. Kesannya penduduk Kashmir sentiasa dihantui perasaan takut kerana bila-bila masa sahaja bumi tersebut akan dijadikan kawasan pertempuran senjata nuklear antara kedua negara tersebut.
            Selain daripada itu salah  konflik yang berlaku di Kashmir adalah berkaitan dengan isu air. Kashmir merupakan punca utama kepada sungai-sungai di Asia selatan terutamanya Sungai Indus. Sungai Indus memainkan peranan penting kepada kedua-dua negara India dan Pakistan sama ada untuk tujuan pengairan sistem tanaman dan sistem hidro elektrik. Menjelang awal kemerdekaan, terdapat kenyataan  mengatakan bahawa India menutup Terusan Doab Bari ketika musim menyemai hingga menyebabkan kerosakan yang ketara kepada tanaman Pakistan.

Kepentingan Kashmir kepada India dan Pakistan.

               Sebelum menelusuri lebih jauh mengenai asas yang menjadi punca kepada konflik yang berlaku di Kashmir adalah baik kiranya kita kaji apakah faktor yang menyebabkan Kashmir menjadi rebutan antara India dan Pakistan. Pakistan ingin menguasai Kashmir atas dasar penduduk di Kashmir majoriti merupakan penganut beragama Islam. Pada masa yang sama Pakistan ingin menguasai Kashmir untuk tujuan politik, ekonomi dan ketenteraan.  Pakistan sangat bergantung pada sumber alam semula jadi di Kashmir antaranya ialah tiga buah sungai besar yang menjadi punca air bagi Pakistan. Jika keseluruhan air sungai tersebut dialirkan ke India, maka Pakistan akan menjadi padang tandus. Dari segi ketenteraan pula, kedudukan geografi Kashmir yang strategik amat penting untuk membangunkan kekuatan ketenteraan. Oleh karena itu, sesiapa yang berjaya menguasai Kashmir akan dapat menguasai daerah di sekitarnya.
India pula ingin menguasai Kashmir atas dorongan agama dan politik. Sejak dulu India ingin menjadi Tuan Di Asia Selatan. Bahkan dalam mitos Hindu, seperti dikatakan  oleh DR Ayyub Toukar dalam sebuah wawancara dengan harian Asy Syarkul Ausat di London : India adalah Tuhan, kepalanya Kashmir dan Tibet, tangan kirinya terbentang sampai ke Indonesia dan tangan kanannya sampai ke kepulauan Maurycus, sementara kakinya di laut India, samping Sri langka. Oleh karena itu, wilayah-wilayah tersebut merupakan wilayah-wilayah suci bagi umat Hindu.
Sekiranya dilihat daripada hubungan dua hala antara Pakistan dan India, kedua-dua negara ini sedang cuba berbaik-baik untuk memastikan hubungan mereka sama ada dalam aspek ekonomi, politik mahupun sosial berjalan dengan baik.  Seperti mana yang dikatakan oleh Mahatma Ghandi sewaktu mengadakan lawatan ke Pakistan “…Nothing is more important to us than a good relations with our neighbor and especially, with Pakistan..” turut dikatakan oleh P.V Narasimba Roa “ Indian commitment to friendship with Pakistan incorporates its support for Pakistan’s well-being grow…I take this opportunity to state unequivocally  that we are committed to respect Pakistan national unity, territorial integrity, political independence and sovereign equality.”
Namun begitu tidak dapat dinafikan, Kepentingan terhadap Kashmir sering kali membibitkan perasaan syak wasangka dan seterusnya menimbulkan ketegangan dan konflik antara kedua pihak.
Asas konflik di Kashmir.
            Penulis buku “South Asia in World Politics” dalam penulisannya mengatakan bahawa terdapat punca menyebabkan berlakunya konflik di Kashmir iaitu yang pertama, apabila India pada tahun 1989 telah menyalahgunakan hak asasi manusia dan penafian hak demokrasi sehingga menyebabkan pemberontakan di IAK. Punca kedua disebabkan tindakan Pakistan secara haram telah menduduki dan membina pondok kawalan di sepanjang gunung yang terletak di bawah kawalan Kashmir sehingga membawa kepada tercetusnya perang Kargil. Sebab ketiga pula ialah disebabkan serangan pengganas yang bertindak menyerang Amerika Syarikat pada Disember 2001, tetapi ini tidak dibincangkan dalam penulisan ini.
            Namun begitu, hasil bacaan daripada buku-buku dan artikel-artikel dapat saya nyatakan pendapat saya bahawa terdapat dua asas utama yang menjadi punca konflik - konflik di Kashmir. Iaitu Masalah Persempadanan Kashmir atau dalam erti kata lain masalah pembahagian kawasan dan permasalahan agama antara penganut Islam dan Hindu di kedua-dunia negara tersebut.

Masalah Persempadanan Kashmir.

Konflik yang melanda Kashmir sehingga kini, bermula sejak proses kemerdekaan membabitkan India dan Pakistan pada tahun 1947. Persempadanan yang tidak jelas sewaktu kemerdekaan antara India dan Pakistan pada Ogos 1947 itu telah menyebabkan kedua belah pihak saling menuntut bahawa merekalah yang berhak menguasai wilayah. Pada tahun 1947, pemerintahan British di India berakhir dengan terciptanya dua buah  negara baru iaitu Kesatuan India dan Pakistan. Akta Kemerdekaan India 1947 menyatakan bahawa :
Daripada petikan tersebut menyatakan bahawa setiap negeri-negeri yang tinggal diberi pilihan  sama ada untuk menyertai India atau Pakistan atau kekal bebas. Namun begitu penyelesaian gagal diperoleh antara kedua-dua wilayah apabila India dan Pakistan masing-masing menuntut wilayah Kashmir sebagai hak mereka.
Walaupun pada hakikatnya Resolusi 122 yang dikeluarkan pada 1947 telah memberikan kebebasan kepada penduduk-penduduk Kashmir untuk menentukan hala tuju politik mereka sendiri;
Menerusi Akta Kemerdekaan India dan Rancangan Pembahagian yang diluluskan oleh Parlimen British pada ketika itu, negara India yang penduduknya terdiri daripada penganut agama Hindu telah membentuk negara India. Manakala  Kawasan yang penduduk majoritinya beragama Islam telah membentuk negara Pakistan.  Kashmir pula diberikan kebebasan untuk memilih pemerintahan sendiri. Namun begitu pemerintah Pakistan dan India masing-masing ingin menguasai Kashmir dan akhirnya membawa kepada konflik perebutan Kashmir oleh Pakistan dan India.
Tanggal 27 Oktober 1947 merupakan titik tolak kepada bermulanya konflik di Kashmir dan dianggap merupakan detik hitam dalam sejarah Wilayah Kashmir. Kerajaan India telah mencabul Akta Kemerdekaan India dan Rancangan Pemisahan dengan menghantar tenteranya untuk menduduki Kashmir yang pada ketika itu belum memutuskan untuk menjadi India atau Pakistan. Dalam tempoh dua bulan sahaja lebih 300,00 penduduk Islam menjadi korban setelah tentera India menakluki wilayah Jammu dan Kashmir. Tindakan India ternyata bertentangan dengan kenyataan Mahatma Ghandi yang menyatakan bahawa beliau menghormati hak penduduk Kashmir untuk memilih pemerintahan mereka sendiri.
Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa akibat perasaan tidak puas hati antara India dan Pakistan terhadap hak yang sepatutnya diperoleh Kashmir telah menyebabkan tercetusnya konflik-konflik yang lain. Bagi menyelesaikan masalah konflik melibatkan dua kumpulan agama jalan penyelesaian yang seharusnya diambil adalah dengan membahagikan wilayah Kashmir mengikut jumlah majoriti yang menjadi penghuninya. Seharusnya pemilihan tampuk pemerintahan oleh Negeri Jammu dan Kashmir perlu dibuat selaras dengan kehendak rakyat melalui kaedah demokratik  yang bebas dan tidak berat sebelah serta dijalankan di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tanpa campur tangan oleh pihak India dan Pakistan.

Permasalahan agama antara penganut Islam dan Hindu.

Sebelum bercerita lebih lanjut mengenai peranan agama sebagai asas yang menyebabkan konflik di Kashmir adalah lebih baik untuk kita mengetahui perkembangan agama yang mewarnai kehidupan penduduk di Kashmir. Sebelum perkembangan Islam wilayah Kashmir menerima perkembangan agama Hinduisme abad pertama dan kemudiannya Buddhism hingga ke abad kesembilan. Pemerintah Islam yang pertama di Kashmir dikenali sebagai Shah Mirza sebagai permulaan susur-galur pemerintahan Salatin-i-Kashmir atau Dinasti Swati pada tahun 1349. Perkembangan pemerintahan Islam sejak tahun 1349, menyebabkan Islam berkembang menjadi agama dominan di Kashmir. Pada masa tersebut, penganut agama Islam dan Hindu di Kashmir hidup secara harmoni dan saling melengkapi antara satu sama lain.
Kemudian Kashmir diperintah oleh kerajaan islam seperti Mughal (1526 -1751), Empayar Durrani Afghanistan (1747 – 1820), dan Empayar Pashtun Durrani pada abad ke-18.
Pada tahun 1819, Kashmir telah ditawan oleh Ranjit Singh Sikh. Perang Pertama Anglo-Sikh pada 1845 dan 1846 menyebabkan perjanjian Lahore ditandatangani dan Kashmir jatuh di tangan Syarikat Hindia Timur. Maharaja Amritsar Gulab Singh kemudiannya telah membeli Kashmir daripada British di bawah perjanjian Amritsar, beliau telah menjadi wakil kepada raja Britain.
Ada sejarawan mengatakan bahawa diteliti konflik di Kashmir adalah disebabkan perbezaan ideologi dan semangat di antara dua agama iaitu agama Hindu dan agama Islam. Bibit-bibit pertelingkahan antara kaum Muslim dan Hindu  telah lama berlaku, namun menjadi semakin besar dan sukar dikawal menjelang tahun 1940an. Pertelingkahan itu secara disedari atau tidak disedari telah membawa kepada  persaingan antara dua parti terbesar pada masa itu, iaitu Indian National Congers (INC) dan Liga Muslim. Hal ini membawa kepada Persidangan Meja Bulat yang telah diadakan sebanyak tiga kali. Persidangan kali pertama pada penghujung tahun 1930  dihadiri oleh Raja-Raja India, orang Islam, Hindu, Kristian dan Sikh bertujuan mencari penyelesaian berkaitan soal agama, namun gagal mencapai penyelesaian. Persidangan kali kedua pada September 1931 untuk menyelesaikan masalah perkauman masih menemui kegagalan. Persidangan Meja Bulat ketiga diadakan untuk menyelesaikan masalah perlambangan.
Tuntutan Liga Muslim serta Ali Jinnah untuk memiliki sebuah “Negara Islam” telah menyebabkan kekacauan dan pembunuhan yang luar biasa berlaku antara penganut Islam dan Hindu. Sepanjang tiga hari rusuhan berlaku, seramai 4000 orang terbunuh dan 10000 orang lagi cedera. Dalam masa enam bulan, di Bihar dan Benggala sahaja lebih dari sepuluh ribu penduduk dibunuh dengan dahsyat. Walaupun penderitaan ini berakhir dengan kejayaan pembentukan Pakistan sebagai negara Islam, namun begitu peristiwa rusuhan kaum yang telah berlaku secara tidak langsung menyebabkan api dendam antara penganut Islam dan Penganut Hindu semakin bercambah dan menjadi beban masa silam yang tidak dapat dilupakan oleh kaum tersebut. Hal ini seperti mana yang dikatakan oleh Dr. B. R. Ambedkar ;
Sehinggalah pada tahun 1947 apabila Parlimen Britain meluluskan Rancangan Pemisahan yang telah membawa kepada terbentuknya dua negara iaitu India dan Pakistan.  Kawasan yang mempunyai penduduk majoriti Hindu akan membentuk negara India. Manakala kawasan yang mempunyai penduduk majoriti Islam di wilayah barat dan Bengal timur akan diletakkan di bawah negara baru Pakistan.
Manakala pemerintah  Kashmir pula diberi hak untuk memilih sama ada ingin menyertai India atau Pakistan. Kashmir yang mempunyai majoriti penduduk Islam boleh menyertai Pakistan, namun begitu atas perancangan pemimpin yang beragama Hindu  dan Kongres Kebangsaan India menyebabkan impian penduduk Kashmir untuk menyertai Pakistan berkecai. Statistik pada 1901 menunjukkan majoriti penduduknya beragama Islam, kecuali di kawasan Jammu dan Ladakh
Walaupun Kashmir diberi hak untuk memilih pemerintahan sendiri namun begitu  berikutan perebutan yang tidak henti-henti antara Pakistan dan India ke atas wilayah Kashmir sejak tahun 1947 menyebabkan konflik di Kashmir tetap berterusan. Kedua-dua negara juga tidak bersetuju untuk melepaskan wilayah itu menjadi  wilayah yang merdeka seperti yang dikehendaki oleh majoriti penduduknya. Sebaliknya kedua-dua kuasa ini mencari isu tertentu untuk campur tangan dalam pemerintahan di Kashmir. 
India mendakwa Pakistan membantu pejuang pemisah dan membekalkan senjata kepada pemberontak. Kumpulan pemberontak dianggap sebagai  kumpulan pengganas Islam yang digerakkan oleh Pakistan untuk menjadikan Kashmir dan Jammu sebahagian daripada Pakistan. Sebaliknya Pakistan menafikan kenyataan India sambil menyifatkan pemberontakan di Kashmir merupakan “perjuangan pembebasan Kashmir” . Pakistan tegas mengatakan bahawa pemberontakan penduduk Kashmir adalah disebabkan rasa tidak puas hati dengan kerajaan India, khususnya Tentera India, yang telah melakukan pelanggaran hak asasi manusia terhadap penduduk Islam di Kashmir. Sehingga kini permasalahan itu masih berlanjutan contohnya ketika berlaku bantahan musim panas 2008, pihak polis sewenang-wenangnya telah melepaskan tembakan ke arah  penunjuk perasaan menyebabkan 40 orang  Muslim terbunuh dan lebih daripada 100 orang cedera
Sebagai tindak balas daripada perbuatan dan penindasan tentera India, penduduk Muslim Kashmir telah pun menggerakkan kumpulan mujahid yang akan melancarkan gerakkan pemerintahan ataupun Intifadah
Ternyata jelas menunjukkan masalah perkauman dan perasaan fanatik keagamaan didorong oleh dendam menyebabkan sebarang persetujuan gagal dicapai oleh semua pihak yang terlibat sama ada India, Pakistan mahupun Kashmir. Sebaliknya setiap langkah penyelesaian yang cuba diambil sering kali menemui jalan buntu dan akhirnya membawa kepada tercetusnya konflik-konflik baru.

Penutup.

Kesimpulannya, konflik di Kashmir merupakan antara konflik yang terpanjang di dunia sejak 1947, hingga saat ini belum ada penyelesaiannya menuju suatu perdamaian. Ternyata permasalahan yang wujud akibat perbezaan antara agama dan kaum telah menjadi asas kepada permasalahan lain termasuklah masalah pembahagian kawasan dan akhirnya mencetus kepada konflik-konflik lain. Pada masa yang sama kesukaran untuk mendapatkan penyelesaian ini tidak lain dan tidak bukan adalah disebabkan tindakan negara India dan Pakistan yang mana masing-masing berdegil untuk menuntut hak penguasaan terhadap Kashmir. Kesannya dapat dilihat apabila penduduk Kashmir menderita akibat peperangan dan kekacauan yang sering berlaku.
Tindakan yang dilakukan oleh Pakistan dan India terhadap penduduk tempatan secara tidak langsung menyebabkan rakyat bangun memberontak sehingga menyebabkan kemunculan kumpulan-kumpulan gerakkan pemisah yang dianggap sebagai pengganas oleh pihak India. Sehingga kini masih berlaku pertelagahan antara India, Pakistan dan China yang menguasai sebahagian kecil wilayah-wilayah di Kashmir. Pada hari ini Kashmir telah dibahagikan kepada dua wilayah utama yang berasingan serta ditadbir oleh dua pemerintah yang berbeza iaitu India dan Pakistan.


0 comments:

Post a Comment