Kisah 2 Sahabat Dan
Pohon Kurma
Pernah
suatu hari, telah dikhabarkan kisah dua orang sahabat yang sangat indah.
Semenjak keduanya bersahabat, mereka tidak pernah bergaduh, masing-masing amat
menjaga hati masing-masing. Indahnya lukisan kehidupan mereka, jika hendak
dikhabarkan seribu satu kisah cinta, langsung tak tertanding dengan kisah
persahabatan mereka. Allah menaungi ukhwah kedua-dua sahabat ini, langsung tak
terusik oleh syaitan dan iblis. Mereka berkongsi kisah suka dan duka, tawa dan
tangis bersama, susah dan senang, sakit dan sihat bersama, dan segala sesuatu
mereka sandarkan kepada Allah SWT. Hinggalah pada suatu hari, di tepian pantai,
sedang keduanya asyik bercerita kisah hidup masing-masing, maka sahabat pertama
bertanya kepada sahabat kedua;
“Semoga Allah memberkatimu wahai sahabatku sehati sejiwa.
Persaudaraan kita bukan suatu kebanggaan, bukanlah suatu keseronokan. Orang
ramai mendoakan kita. Tumbuh-tumbuhan dan segala jenis makhluk tunduk sujud
kepada kita. Sehingga ke hari ini, apakah kamu masih mengaku aku sebagai
sahabat seperjuanganmu?”
Sahabat kedua menjawab, “Semoga Allah memberkati mu jua.
Tanpa Allah siapalah aku, aku bersyukur dengan nikmat pemberian Allah yang tak
ternilai di hadapan mataku ini. Dia utuskan kamu untuk menyinari hidupku,
memadam kesan-kesan hitam dalam hidupku, menyiram aku dengan curahan air cinta
kepada Yang Satu. Masakan tidak aku mengaku kau sebagai sahabat seperjuanganku.
Inilah tekadku, aku amat bersyukur ke hadrat Allah kerana dikurniakan sahabat
sepertimu..”
“Sesungguhnya iblis dan syaitan amat benci pada kita.
Mereka benci kerana kita berkasih sayang kerana Allah. Sampai sekarang, mereka
masih gagal. Namun mereka tak pernah berputus asa. Jarum kedengkian, hasad,
fitnah, tuduh-menuduh, riya’ dan takbur serta ‘ujub akan mereka cucuk supaya
dapat memisahkan persaudaraan kita. Apakah kau tidak takut wahai sahabatku?”
Tanya sahabat pertama.
Dengan tenang, sahabat kedua menjawab, “InsyaAllah, aku
yakin dengan peliharaan Allah SWT kepada kita hingga ke hari akhirat nanti.
Semoga ditetapkan hati kita tidak lain hanya kerana Allah SWT, serta dijauhi
dari sifat-sifat tersebut. Na’uzubillah…”
Maka kedua-dua sahabat itu pun berdoa bersama-sama.
Memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT. Segala penduduk langit dan bumi mendoakan
kebahagiaan mereka berdua.
Ditakdirkan pada suatu hari, sedang kedua-dua sahabat itu
bersiar-siar di sebuah taman, sambil bertasbih memuji Allah SWT, mengagungkan
kebesaran Allah SWT, tiba-tiba mereka terlihat sebuah pohon kurma yang lebat
buahnya. Telah diketahui bahawa taman itu adalah taman yang tidak bertuan
milik, dan pengunjung bebas memetik buah-buahan di situ. Maka sahabat kedua
memohon izin kepada sahabat pertama untuk pergi memetik buah kurma tersebut.
Maka dipetiknya beberapa biji sahaja, sekadar mengisi perut yang lapar.
Maka keduanya menikmati buah kurma tersebut dengan penuh
kesyukuran. Tiba-tiba sahabat pertama bersuara, “Maafkan aku sahabatku. Baru
sahaja aku teringat bahawasanya pohon ini bertuan milik. Kita telah makan buah
kurma milik orang lain. Adalah suatu dosa bagi kita memakan sesuatu yang bukan
halal bagi kita tanpa kita meminta izin terlebih dahulu. Salah aku kerana
terlambat memberitahumu.”
“Benarkah? Jikalau begitu, kita telah dikira mencuri.
Astaghfirullahal azim, aku merasa bersalah kerana memetik buah itu. Apa harus
kita buat? Patutkah kita memberitahu tuan punya milik pohon tersebut akan
kesalahan kita?” Sahabat kedua bertanya.
“Tidak, aku tak mampu memikirkan jalan penyelesaian buat
masa sekarang. Hakikatnya memang salah aku. Aku merasa berdosa yang teramat
sangat.” Keluh sahabat pertama.
“Jangan
risau sahabatku fillah. Allah bersama orang-orang yang benar. Kita harus
berlaku jujur. Mari kita berjumpa dengan tuan pemilik pohon ini. Mudah-mudahan
Allah mengampuni dosa kita. Moga tuan milik pohon ini menghalalkan kita kerana
memakan buahnya. Aku rela bekerja seumur hidup jika disuruhnya begitu, demi
menghalalkan apa yang telahku makan ini. Aku lebih takutkan seksaan Allah SWT.”
Sahabat kedua memujuk sahabat pertama.
Namun, sahabat pertama enggan menurut sahabat kedua. Dia
berasa amat bersalah kerana gagal memberitahu perkara sebenar tentang pohon
tersebut.
“Bagaimana jika tuan pemilik pohon ini enggan menghalalkan
buah yang telah kita makan ini?” Tanya sahabat pertama.
Sahabat kedua termenung seketika. Dia mulai ragu-ragu.
“Aku mencadangkan kita tak perlu berjumpa dengan tuan
pemilik pohon ini. Aku khuatir dia enggan memaafkan kita. Maka seluruh darah
dan daging kita tidak halal di sisi Allah.” Sahabat pertama memberi cadangan.
“Kalau begitu, sama sahajalah pengakhirannya. Lebih dahsyat
lagi Allah murka atas perbuatan kita. Dia melihat perbuatan kita, Dia tahu yang
kita telah melakukan maksiat dan cuba menyembunyikannya. Aku amat takut.
Seeloknya aku mencadangkan kita berjumpa tuan pemilik pohon ini. InsyaAllah
dengan rahmat Allah, tuan pemilik pohon ini memaafkan dan menghalalkan apa yang
telah kita makan. Aku tak mahu tergolong dalam kalangan orang yang dilaknat
oleh Allah SWT di akhirat kelak nanti.” Sahabat kedua meyakinkan sahabat
pertama.
“Kalau begitu, engkau pergi seoranglah. Aku tidak mahu.
Sebagai sahabatku, harap kau jangan laporkan kepadanya yang aku turut sama
makan buah kurma itu ya. InsyaAllah suatu hari nanti aku akan cuba bertaubat
kepada Allah SWT atas kesalahanku ini. Mudah-mudahan Dia mengampuni aku. Aku
belum cukup kuat berjumpa dengannya,” kata sahabat pertama.
Sahabat kedua amat terkejut dengan pendirian sahabat
pertama. Lalu dia berkata, “Astaghfirullah, bukan dengan cara begini, Allah
akan ampunkan dosa kita wahai sahabatku. Kelak akan dipersaksikan di akhirat
kelak akan perbuatan terkutuk kita!”
“Ya aku faham. Tapi aku merasakan inilah jalan penyelesaian
terbaik. Kita bertaubat sahaja. Allah akan mengampuni dosa kita. Pintu
taubatnya sentiasa terbuka bagi hambaNya yang bertaubat kepadaNya.” Sahabat
pertama masih enggan.
“Wahai sahabatku, janganlah kita dihina di hadapan Allah
kelak atas perbuatan kita ini. Aku sebagai sahabatmu tidak sanggup melihat
sahabatku ini menjadi penghuni neraka hanya kerana hal yang kecil sebegini.
Islam mengajar kita supaya berlaku jujur!” tegas sahabat kedua.
“Ah, pedulikan! Aku tidak mahu berjumpa dengan tuan pemilik
pohon ini. Lagipun sama sahaja kalau dia enggan menghalalkan apa yang telah
kita lakukan ini. Kau mahu pergi, kau pergilah, aku tetap dengan pendirianku!
Biarkan aku! Kalau kau rasakan aku tidak layak menjadi sahabatmu kerana
‘dosa’ku pada pandanganmu, maka biarkan aku!” Pengakuan sahabat pertama ini
membuatkan sahabat kedua terkejut. Dia tidak menyangka bahawa kata-kata
tersebut akan keluar dari mulut sahabatnya itu.
Tiba-tiba sahabat kedua menangis. Maka dengan perlahan dia
berkata kepada sahabat pertama, “Sungguh aku tak sangka dengan pendirianmu ini.
Kau telah berubah, astaghfirullah, syaitan benar-benar telah mempengaruhimu.
Aku masih ingat kau pernah bertanya kepadaku suatu ketika dahulu, apakah aku
tidak takut akan jarum-jarum syaitan yang akan memisahkan persaudaraan kita?
Aku meyakinkanmu dengan jawapanku. Aku yakin dengan peliharaan Allah. Tapi,
memang benar apa yang dikatakanmu. Kau telah berubah. Jarum syaitan telah
menusuki tubuhmu. Aku sangat kecewa dengan perubahan dalam dirimu.”
“Kau sudah tidak memahamiku lagi. Kau benar-benar bukan
sahabatku. Maka terpulanglah, pergilah kau kepada tuan si pemilik pohon. Aku
dengan pendirianku ini. Mulai hari ini, kita bukanlah sahabat sejati,” kata
sahabat pertama.
“Baiklah, pergilah engkau dengan sikap engkau itu. Aku
benar-benar kecewa. Jika benar kau membenciku, maka tinggalkanlah aku di sini.
Aku tak sanggup melihatmu dengan pendirianmu ini. Aku tak rela sahabatku
berubah jadi begini. Kau telah mendustai kata-katamu suatu ketika dahulu. Mulai
hari ini, aku terima permintaanmu, kita bukan lagi sahabat. Pergilah engkau
bertaubat, semoga Allah mengampuni engkau,” maka sahabat kedua menangis. Lalu
sahabat pertama beredar dari situ. Kebencian merajai segenap hatinya….
Di dalam sebuah gua, terdengar tangisan teresak-esak
seorang lelaki. Suara laksana orang sedang berdoa.
“Ya Allah, memang benar apa yang aku alami. Sahabatku benar-benar
membenciku kerana kejahatanku. Dia benar-benar sudah tidak mengakuiku sebagai
sahabatnya. Apabila aku berlagak seperti seorang pengkhianat, dan aku berlakon
seperti seolah-olah aku menafikannya sebagai sahabatku, maka memang benar dia
menolakku. Sudah ku duga bahawa dia mengakui aku sebagai sahabatnya hanya
kerana kebaikan yang ada padaku. Apabila aku jahat, maka aku bukan lagi
sahabatnya. Dia tidak berusaha mendapatkanku. Ku harapkan dia mengejarku, namun
dia menghukum aku sebagai pendusta pula. Ya Allah, namun begitu, aku
menghalalkan apa yang telah dimakannya, akulah pemilik pohon kurma itu,
ampunilah dosa sahabatku ini.”
Sahabat pertama tunduk sujud dan menangis dalam gua yang
gelap gelita itu.
p/s : maaf kalo x sekemas mna, lgi pun copy paste kan?? tp baca dan renungkan!!!!
hasil petikan : http://kisahteladan.info/category/iktibar/page/7