Click Here For Free Blog Templates!!!
Blogaholic Designs

Pages

Wednesday, May 1, 2013
Subhash Chandra Bose


1.0              Pengenalan

India merupakan sebuah  negara yang terletak di Asia Selatan dan merupakan negara kedua terpadat dengan penduduk. Malah, India merupakan negara demokrasi dengan seribu juta penduduk dan lebih seratus bahasa yang berlainan. Nama India berasal dari perkataan Sindhu iaitu nama tempatan kepada sungai Indus. Kitab-kitab Vedas tidak memberikan nama tertentu kepada India. Walau bagaimanapun, pelbagai parti politik mempunyai nama tersendiri bagi India sesetengahnya dikenali sebagai hindustan, Hindu Rashtra dan Bharath. India juga turut dikenali sebagai Hindustan tetapi nama ini diketepikan selepas kemerdekaan pada 1947 disebabkan India memilih untuk menjadi negara sekular
            Kemerdekaan India amat sukar untuk diperolehi kerana keadaan selesa British yang berada di India menindas masyarakat India. Hal ini membawa kepada peperangan perjuangan pertama seterusnya kepada kebangkitan aktivis-aktivis India untuk menentang penguasaan British di India. Semangat mereka amat kental walaupun terpaksa melalui keperitan. Pelbagai Perjuangan pejuang muncul di  India antaranya ialah Subhas Chandra Bose yang cuba  menuntut kemerdekaan dengan cara yang radikal. Subhas Chandra Bose yang akhirnya memimpin Tentera Kebangsaan India atau Indian National Army (INA) telah memberikan sumbangan yang besar terhadap perkembangan perjuangan menuntut kemerdekaan dari British. Sehingga ke hari ini, jasa yang telah dilakukan oleh Subhas Chandra Bose akhirnya membawa kepada kemerdekaan negara India walaupun beliau tidak sempat untuk merasainya. Para penduduk India masih kekal mengingati beliau. Antara sumbangan beliau dalam pergerakan Indian National Army ialah menjalinkan hubungan yang baik antara Jepun dan INA, memperkukuhkan semula INA, menubuhkan Tentera Wanita Rani Jhansi, menyatupadukan rakyat India di serata dunia dan banyak lagi.

2.0       Biodata Subhash Chandra Bose

            Subhas Chandra Bose dilahirkan pada 23 January 1897 di Cuttackyang berada jauh daripada Calcutta. Beliau merupakan anak lelaki keenam dan merupakan anak yang kesembilan dalam keluarganya. Subash Chandra Bose dilahirkan dalam keluarga yang berpendidikan undang-undang dan diwarisi oleh ayahnya iaitu Janakinath dan ibunya Prabhavati Bose. Beliau merupakan keluarga yang berada di Bengal. Ibu Subhas pula merupakan wanita yang terdedah dengan pendidikan dan keagamaan. Subhash turut menulis tentang keluarganya iaitu:
Oleh kerana ayah Subhas yang terlalu sibuk menyebabkan mereka kurang ditumpukan dalam keluarga dan menggangu kehidupan Subhas.
Namun, Subash Chandra Bose merupakan anak yang taat kepada ibu bapanya dan selalu menurut perintah ayahnya iaitu Janakinath Bose berdasarkan dalam penulisan beliau yang membuktikan bahawa beliau sangat patuh pada perintah ayahnya.
            Di Bengal, keluarga Bose ini dikenali dengan golongan aristokrat dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Sesetengah ahli dalam keluarga ibu dan ayah Subhas Chandra Bose mempunyai kedudukan yang tinggi dalam bidang ketenteraan. Pada umur lima tahun, Subhas mula bersekolah di English Elementary di Cuttack dan beliau berjaya menamatkan persekolahan selama tujuh tahun dengan kelulusan yang cemerlang. Namun, beliau bernasib malang apabila berlaku diksriminasi pada ketika itu. Beliau tidak dibenarkan untuk memasuki Kelab Sukan iaitu sesuatu yang sangat penting dalam kurikulum di sekolah-sekolah Eropah hanya kerana beliau datang daripada keluarga berkulit hitam iaitu orang India. Beliau juga dilarang untuk memasuki Boys Volunteer Crops dan tidak dibenarkan untuk mengambil peperiksaan untuk kelulusan biasiswa. Hal ini menyebabkan Subhash Chandra Bose sedar akan perbezaan layanan yang wujud di India dan merasakan ianya tidak adil. Akhirnya, beliau memasuki sekolah menengah di Indian Secondary School.
            Di sekolah tersebut, beliau terpengaruh dengan  disiplin dan semangat yang diberikan oleh pengetua sekolah yang mengajarnya tentang idea idealisme dan menghormati ‘human dignity’. Namun, setelah pengetua itu dipindahkan ke sekolah yang lain Subhash Chandra Bose berasa sangat putus asa dan mula memberontak. Kepatuhan  terhadap ibu bapanya turut berubah. Pada masa yang sama, beliau hilang minat untuk belajar dan kerap kali berdebat dengan pelajar lain di dalam kumpulannya.
            Subhas Chandra Bose sangat dipengaruhi oleh kuliah dan buku karya Swami Vivekananda. Hal ini merupakan titik tolak yang membawa beliau menjadi seorang aktivis perjuangan negara. Semakin ibu bapanya menekan beliau, semakin Subhas menentang ibu dan bapanya untuk menjadi pelajar cemerlang dalam akademik. Namun, akhirnya beliau sedar dan kembali belajar bersungguh-sungguh dan menjadi sukarelawan dalam masyarakat dan membina hubungan dengan orang ternama. Beliau terdedah dan berminat dalam politik dan keagamaan. Akhirnya, beliau menjadi seorang yang warak iaitu beliau cuba untuk mendapatkan ‘religious mendinancy’.
            Penglibatan beliau di dalam aktivis menyebabkan rasa kurang senang  dan risau ibu bapa Subhash terhadap anak mereka Subhash Chandra Bose. Janakinath dan Prabhavati menghantar beliau untuk ke Calcutta dalam harapan untuk mengembalikan sifat anaknya yang dahulu. Apabila Subhash baru sahaja menjejakkan umur kepada 15 tahun pada 1913, beliau telah berjaya menduduki peperiksaan akhir dengan keputusan yang cemerlang di Universiti of Calcutta. Beliau merupakan pelajar kedua terbaik dan telah membanggakan ibu dan ayahnya. Subhash Chandra Bose mempunyai matlamat hidup yang jitu berdasarkan pandangan Tatsuo Hayashida iaitu :

            Pada masa Perang Dunia 1 dan 2 telah meyakinkan beliau bahawa tiada negara lain yang mampu memerdekakan India melainkan masyarakat India sendiri. Beliau juga pernah diserang demam Typhoid dan dibuang kolej apabila menyertai kepimpinan pembangkang kepada British. Namun, abang beliau telah menyelamatkan beliau dan meminta universiti untuk menarik balik keputusan itu berdasarkan keputusan dan rekod cemerlang adiknya. Akhirnya, Subhash Chandra Bose kembali kepada kehidupan mahasiswa dan pada masa yang sama beliau menyertai unit ketenteraan di Universitinya iaitu University Unit of the Indian Territorial Army. Pengalaman ini telah memberi banyak kelebihan apabila beliau menerajui perjuangan dalam Indian National Army (INA) dalam kehidupannya.
            Seterusnya, Subhas merupakan seorang pejuang yang tidak pernah untuk berhenti belajar dan memperkembangkan ilmunya. Beliau sekali lagi menyambung pelajaran dan menamatkan pengajian dengan Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan kepujian di bidang Falsafah pada 1919. Suatu hari ayahnya datang ke Calcutta dan meminta Subash untuk menyambung pengajian di Britain untuk mengambil peperiksaan Undang-undang Sivil. Beliau hanya mempunyai persediaan selama lapan bulan dan akhirnya meninggalkan India pada 15 September 1919. Setibanya beliau di Britain, beliau telah berjaya melayakkan diri ke Universiti Cambridge. Subash Chandra Bose berjaya dalam peperiksaan dan mendapat tempat keempat terbaik di universiti Cambridge.
            Selepas lulus dalam peperiksaan, Subhash Chandra Bose dalam dilema untuk memilih kerjaya dalam bidang undang-undang yang diminati ayahnya atau dalam politik. Kemudian, beliau kembali ke India dan tiba di Bombay pada 16 July 1921. Umur beliau pada ketika itu ialah 24 tahun dan beliau telah berjumpa dengan Gandhi dan dalam pertemuan itu, banyak soalan yang ditanyakan oleh subhas Chandra bose. Disinilah Subash Chandra Bose, 25 tahun berjuang untuk kebebasan negara India bermula. Kepimpinan beliau dalam politik terselah dengan jawatan yang dipegangnya iaitu Menteri Besar Calcutta, Presiden Kongres Kebangsaan India dan dipenjarakan. Akhirnya, ke luar negara dan kemudian menemui kematian yang tragik di Taipeh, Formosa. Namun, Subhas Chandra Bose telah banyak berjasa kepada Perjuangan India dan khususnya kepada perjuangan Tentera Kebangsaan India yang hanya dipimpin seketika tapi mampu untuk meraih kecemerlangan India.

3.0       Tentera Kebangsaan India (INA)

            Tentera Kebangsaan India atau dikenali sebagai Azad Hind Fauj atau INA dalam bahasa Urdu merupakan pasukan ketenteraan yang ditubuhkan secara rasmi selepas Perang Dunia Kedua pada tahun 1942. Tujuan utama tentera ini adalah untuk melawan dan menghapuskan kekuasaan British Raj di India bersama-sama dengan Jepun. Tentera-tentera ini didapati majoritinya dari banduan-banduan peperangan yang ditangkap oleh Jepun di Malaya dan Singapura dan juga sukarelawan daripada populasi orang India yang menetap di Malaya dan Burma.
            Pada awalnya pasukan ini ditubuhkan pada 1942 selepas kejatuhan INA di Singapura di bawah pimpinan Mohan Singh, kejatuhan pertama pada December sebelum INA diambil oleh Subhas Chandra Bose pada 1943 dan  beliau telah mengistiharkan tentera Bose Arzi Hukumat e- Azad Hind. Tentera Kebangsaan India (INA 2) merupakan pasukan ketenteraan yang mantap di bawah kepimpinan Subhas Chandra Bose yang mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Jepun pada ketika itu menentang British dan negara Komanwel iaitu negara yang dijajah British seperti Burma, Imphal dan Kohima.
            Pemilihan di antara kepimpinan INA dan Jepun pada 1943 telah memutuskan bahawa presiden baru bagi  IIL dan INA adalah Subhash Chandra Bose semenjak berbagai-bagai masalah berlaku akibat kelemahan pihak ketenteraan dan terdapat tentera yang menolak untuk menyertai tentera kebangsaan India pada ketika INA pertama di bawah pimpinan Mohan Singh. Bose pada permulaan perang di Eropah telah melarikan diri dari India ketika beliau dikurung oleh British. Beliau telah lari ke Jerman melalui Afghanistan dan sampai ke Berlin pada 2 April 1941. Bose lari ke Jerman untuk menyakinkan Hitler di dalam pertemuan mereka supaya memberi sokongan  dalam perjuangan menuntut kebebasan oleh India.
            Pada awal 1943, Bose telah beralih arah ke Asia Tenggara  kerana ramai orang India yang masih berada di luar India yang dijangkakan akan mampu memberi sokongan pada perjuangan Tentera Kebangsaan India. Pada Januari 1943, Jepun telah menjemput Bose untuk mengetuai Pergerakan perjuangan India di sekitar Asia Tenggara. Bose telah menerima dan akhirnya meninggalkan Jerman pada 8 Februari dan selepas tiga bulan perjalanan di laut untuk ke Singapura, beliau singgah di Tokyo pada 11 May 1943 untuk membuat pengumuman di radio supaya memberi informasi kepada kaum India untuk menganggotai perjuangan India. Pada 4 Julai 1943, Bose mengadakan perjumpaan dengan tentera kebangsaan India dan merancang perubahan dan penstrukturan semula Tentera Kebangsaan India.

4.0       Sumbangan Bose dalam INA

            Subhas Bose merupakan pejuang menentang pemerintahan di British dan berjuang dengan cara yang radikal dalam menuntut kemerdekaan. Bose mempunyai kepimpinan yang berkarisma dan tegas dalam berjuang. Bose telah mengambil alih peranan Rash Behari Bose dalam INA. Beliau telah memegang kepimpinan Indian National Army pada era kedua. Bose telah memberikan sumbangan yang besar dalam perjuangan Tentera Kebangsaan India. Antaranya jika diteliti dan dikaji, beliau telah berjaya menjalinkan hubungan yang baik antara Jepun dengan Tentera Kebangsaan India atau INA. Beliau juga telah memperkukuhkan semula kedudukan INA selepas jatuh di bawah kepimpinan Mohan Singh.. Bose juga telah mewujudkan Tentera Wanita atau dikenali sebagai Rani of Jhansi Regiment di Singapura. Beliau juga telah menyatupadukan penduduk India tidak kira agama, kasta dan bangsa dalam tentera kebangsaan India.

4.1       Menjalinkan hubungan dengan Jepun

Bose telah memainkan peranan yang penting dalam menjalinkan hubungan yang rapat dengan Jepun dalam memperkembangkan Tentera Kebangsaan India. Ironinya, hubungan Jepun dengan pemimpin Tentera Kebangsaan India sudah lama berjalan terutamanya pemimpin Tentera Kebangsaan India Pertama iaitu Mohan Singh dan Rash Behari Bose. Namun, terdapat beberapa masalah antara pemimpin Mohan Singh dan Rash Behari Bose disebabkan masalah tidak sefahaman. Oleh itu, apabila Bose menggantikan mereka dalam Tentera Kebangsaan India Kedua, hubungan dengan Jepun lebih menunjukkan kesan positif kerana Bose memang merupakan pemimpin yang berkarisma dan dikenali oleh Jepun. Hal ini boleh dilihat dalam hubungan Bose dengan pemimpin Jepun yang lain seperti Mejar Fujiwara iaitu pengarah kepada ‘F’ Kikan, Colonel Yamamoto merupakan pemimpin dalam ketenteraan yang begitu rapat dengan Bose. Oleh itu, hubungan yang rapat antara Jepun dengan Bose telah menyebabkan Tentera Kebangsaan India atau INA juga mendapat hasil yang baik.
Hubungan antara Jepun dan INA ini dapat dilihat dengan penubuhan sekolah perisikan di Asia Tenggara. Ejen-ejen  Jepun yang terbabit dalam Perang Dunia Kedua yang telah menjalankan perisikan sebenarnya merupakan lepasan-lepasan sekolah perisikan Jepun iaitu dari Sekolah Ogawa dan Nakkano Gakko. Oleh itu, Jepun yang mempunyai hubungan yang baik dengan Bose telah memberikan bantuan latihan sekolah perisikan dengan INA. Antara sumbangan Bose ialah pewujudan sekolah Sandycroft. Jepun melalui Iwakura Kikan bertanggungjawab membantu INA bagi melahirkan ejen-ejen perisik yang berwibawa. Iwakura Kikan yang menggantikan Fujiwara Kikan dan diketuai oleh Iwakuro Hideo yang berpengetahuan dalam perisikan telah memberi bantuan latihan kepada tentera INA. Sekolah yang ditubuhkan oleh Bose dengan bantuan Jepun adalah bertujuan untuk menyatukan sekolah-sekolah perisikan yang ada dan memberi latihan operasi perisikan yang lengkap.
Penubuhan sekolah ini adalah untuk melatih tentera kebangsaan India mendapatkan maklumat berkaitan pihak tentera dan pertahanan musuh. Tentera Jepun telah banyak menggunakan banyak kaedah pengintipan . Jepun dan Bose telah menguruskan tentera mereka dengan memberi latihan kepada INA seramai 15,000 tentera di bawah pemantauan Hikari Kikan. Selain itu, kerjasama antara Jepun dengan INA turut dilihat diberi dengan menghantar pegawai-pegawai INA ke luar negara di bawah naungan ‘ Army Affairs Training Office’. Sumbangan Bose amat penting disini kerana telahm menglibatkan tentera INA dalam Perang Dunia kedua.
 Selain daripada itu, kewujudan sekolah ini turut dikaitkan bagi melatih aktiviti-aktiviti ketenteraan. Sebelum ejen-ejen boleh di hantar ke India untuk menjalankan operasi khas, amatlah diperlukan untuk melatih mereka dalam  teknik-teknik yang khas seperti pengintipan, sabotaj dan lain-lain kerja. Pelajar di sekolah ini akan menerima pelbagai jenis latihan fizikal dan mental. Latihan-latihan ini adalah untuk mendedahkan kepada pelajar supaya mempunyai pendedahan dan daya ketahanan yang tinggi. Latihan-latihan yang diberikan mempunyai potensi yang baik dan berkaliber memandangkan kebanyakan tenaga pengajar merupakan mereka yang terlatih dan mempunyai pengalaman dalam peperangan.
 Umumnya, walaupun objektif kedua-dua pemimpin iaitu Iwakuro Kikan dan INA adalah berbeza, tetapi penubuhan sekolah ini dilihat memberikan kerjasama kepada kedua-dua pihak. Hal ini jelas dilihat apabila Iwakuro menganggap penubuhan sekolah ini adalah untuk melatih pelajar-pelajarnya sebagai ejen-ejen sulit tetapi bagi Raghavan adalah untuk Kader. Namun begitu, telah terjalin satu kerjasama ataupun fahaman berdasarkan kepada penubuhan sekolah-sekolah perisikan di Tanah Melayu bagi menunjukkan komitmen antara kedua-dua pihak. Jelasnya penubuhan sekolah ini mendapat banyak bantuan dan tajaan daripada Jepun dan seterusnya menunjukkan kehadiran Bose dalam INA memantapkan lagi hubungan mereka kerana Bose memang seorang yang rapat dengan Jepun.

4.2       Memperkukuhkan semula kedudukan INA

            Subash Chandra Bose sangat berperanan penting dalam memperjuangkan kemerdekaan India melalui medium Tentera Kebangsaan  (INA). Beliau mula mengorganisasikan INA dengan semangat untuk melancarkan serangan ke atas India. Dari saat beliau menjadi pemimpin iaitu Supreme Commander INA beliau merangka pelbagai objektif yang sistematik untuk menjadikan INA sebagai satu ketenteraan yang kuat untuk menentang British di tanah Jajahan mereka seterusnya di India. Menurut Fujiwara, “ INA under the leadership of Subhas Bose became a really revolutionary army”. Hal ini dapat menyokong kenyataan bahawa Subhas Bose memberi sumbangan besar dalam mempengaruhi tenteranya untuk menjadi pejuang revolusi yang ditakuti. Bose mengingatkan kepada tenteranya bahawa tugas mereka bukanlah satu tugas yang mudah kerana peperangan itu merupakan perang yang sukar dan panjang sehingga mereka berjaya untuk memerintah negara mereka sendiri. Hal ini dicatatkan dalam buku tulisan Sarojini Devi.
Selain itu, Subhas Bose telah memberikan langkah-langkah untuk mencapai ketenteraan yang mantap dan patut dipatuhi oleh tentera kebangsaan India iaitu INA selaras dengan operasi peperangan di Burma. Antara peraturan yang dirangka oleh Bose ialah setiap strategi dalam perancangan operasi harus dikeluarkan oleh Komander INA dan Tentera Induk Jepun di Rangoon. INA dan tentera Jepun harus menghormati satu sama lain serta semua keputusan dan arahan di tangan pegawai INA mestilah dipatuhi. Unit yang terkecil dalam Tentera INA akan menjadi batalion di bawah pegawai INA. Tentera tidak boleh dipecahkan kepada kumpulan yang lain kerana semua unit INA mesti bersatu dan tidak akan diletakkan di bawah Tentera Jepun. Malah, bagi memastikan status yang sama kekal di antara tentera INA dan Jepun, pemantauan akan sentiasa dilakukan. Setiap kesalahan Tentera INA juga akan diadili oleh INA Military law and Army Act dan Japanese Headquartes tidak akan mencampuri sebarang urusan disiplin tentera INA. Selain itu, banyak lagi peraturan yang dirangka beliau untuk memantapkan Tentera Kebangsaan India.

4.3       Penubuhan Rani of Jhansi Regiment

            Bose juga turut menyumbangkan idea besar dengan idea beliau menubuhkan tentera India wanita iaitu ‘Rani of Jhansi Regiment’ selepas kisah perjuangan mereka pada Perjuangan Kebangsaan Pertama 1857 dan menjadi  pejuang wanita pertama menuntut perjuangan India pada ketika itu. Tentera Rhani of Jhansi merupakan tentera wanita di dalam Tentera Kebangsaan India iaitu INA yang telah diperkenalkan pada 1942 di Asia Selatan dengan tujuan untuk membantu INA menentang pemerintahan British di India dengan bantuan Jepun. Diketuai oleh Kapten Lakshmi Swaminathan, unit ini dirasmikan pada 1943 dengan penyertaan sukarelawan dari penduduk India di serata negara.
            Kebanyakan wanita adalah sukarelawan remaja berketurunan India dari ladang-ladang getah di Tanah Melayu dan penyertaan dari India adalah sangat sedikit. Penyebaran awal tentera ini dimulai dengan penubuhan kem latihan di Singapura dengan kira-kira satu ratus dan tujuh puluh kadet. Mereka diberi pangkat pegawai swasta yang tidak bertauliah mengikut pendidikan mereka. Kem telah ditubuhkan di Rangoon dan Bangkok dan menjelang November 1943, unit ini mempunyai lebih daripada 300 kadet.
            Rekrut telah dibahagi kepada seksyen dan platun masing-masing. Kadet ini menjalankan latihan ketenteraan dengan latihan senapang, bom tangan dan caj bayonet. Kemudian, beberapa pegawai telah telah dipilih untuk latihan yang lebih maju dalam peperangan di hutan di Burma. Tentera pertama yang layak iaitu seramai 500 orang telah terpilih dan berjaya dalam kem latihan ketenteraan di Singapura pada Mac 1994. Malah, 200 orang tentera juga turut dipilih untuk menjadi jururawat dan akhirnya membentuk Chand Bibi Kor Jururawat.  Namun, selepas kejatuhan Rangoon dan penarikan semula kerajaan Azad Hind dan Bose dari bandar Myanmar akhirnya unit ini terpaksa dibubarkan. 
            Tentera Wanita yang ditubuhkan oleh Subhas Bose ini memainkan peranan penting dalam INA dan peperangan yang telah mereka hadapi untuk menentang British. Kepimpinan Subhas Bose telah membawa pembaharuan dalam Tentera Kebangsaan India. Dalam ucapan Subhas Chandra Bose, beliau memberi kepercayaan besar kepada tentera Rani of Jhansi.
               Pernyataan Dr. R.C Roy telah memperlihatkan idea Subash Chandra Bose dalam penubuhan Tentera Wanita atau Rhani of Jhansi Regiment  ini telah memberikan memori dalam Tentera Kebangsaan India (INA) selaras dengan prinsip beliau iaitu emansipasi wanita. Bose menyatakan bahawa wanita harus diberi peluang untuk menunjukkan bakat dalam keluarga dan masyarakat. Beliau percaya bahawa wanita mampu menjadi pejuang negara.

4.4          Menyatupadukan penduduk India

               Kepimpinan Bose juga merupakan satu kelebihan pada kecemerlangan INA yang kedua. Bose telah menyatupadukan semua bangsa dan agama di India mahupun di masyarakat India yang berada di luar negara. Hal ini disebabkan semangat mereka untuk memperjuangkan negara mereka dari imperialisme pihak British. Kehadiran Bose di INA telah menyebabkan sentimen perkauman, keagamaan dan kasta itu terhapus sama sekali dan mereka berjuang atas dasar nasionalisme India. Bose meletakkan orang Islam, Sikh dan Hindu bersama-sama berjuang menentang propaganda orang Btritish. INA telah membuktikan bahawa tanggapan British terhadap India  sebagai satu bangsa yang tidak boleh berkerjasama adalah salah sama sekali. INA merupakan simbol penyatuan orang India menentang British di India. Perkara ini boleh dilihat dengan prinsip Bose yang dinyatakan oleh Shah Nawaz Khan.
Bose merupakan seorang yang beragama Hindu, namun beliau tetap menerima agama lain. Beliau telah melantik Shah Nawaz Khan, seorang muslim untuk menjadi pembantu beliau kerana Shah Nawaz Khan hebat dalam formasi tentera peperangan.
             Selain itu, perjuangan Bose dalam INA merangkumi keseluruhan penduduk India yang berada di serata negeri sama ada Burma, Tanah Melayu, Singapura, Thailand, dan juga penyatuan dengan pihak Jerman dan Jepun. Mereka berjuang atas nama Pembebasan India walaupun mereka berada di luar India. Semangat yang tekal ini adalah hasil daripada kecekalan dan kehebatan Subhas Chandra Bose untuk memperjuangkan kemerdekaan daripada Imperialis British dengan cara yang lebih radikal.

5.0       Kesimpulan

            Perjuangan Subhas Bose dalam Indian National Army meninggalkan impak yang mempengaruhi pemerintahan British di India. Sumbangan yang diberikan oleh Subhas seperti menjalinkan hubungan antara Jepun dan INA melalui bantuan ketenteraan dan sekolah perisikan, memperkukuhkan semula INA melalui perangkaan sistem-sistem baru dalam ketenteraan, menubuhkan tentera wanita Rani of Jhansi dan menyatupadukan penduduk India telah menyebabkan perjuangan Indian National Army menjadi perjuangan yang ditakuti oleh imperialis Barat.
            Namun, akhirnya perjuangan ini menemui kekalahan dengan sebilangan kecil tentera  telah jatuh ke tangan pihak lawan pada tahun 1943, manakala lebih besar jumlah tentera telah menyerah diri atau ditangkap semasa Kempen Myanmar Tentera ke 14. Sejumlah 16000 tentera daripada 43000 INA  telah pernah ditangkap dan sekitar 11000 orang tentera telah disoal siasat. Menjelang Julai 1945, sebilangan besar telah dihantar balik ke India. Pada masa kejatuhan Jepun, selebihnya ditawan tentera telah diangkut ke India melalui Rangoon.         Sejumlah besar tentera India yang menetap di Tanah Melayu dan sukarelawan Burma termasuk para tentera Rani Jhansi rejimen kembali kepada kehidupan awam dan hingga kini tidak dikenal pasti. Mereka dihantar pulang melalui kem-kem transit di Chittagong dan Calcutta yang akan diadakan di kem tahanan di seluruh India termasuk Jhingergacha dan Nilganj berhampiran Calcutta, Kirkee di luar Pune, Attock, Multan dan di Bahadurgarh berhampiran Delhi. Pada masa penyerahan Jepun pada bulan September 1945, Bose bersama-sama rakan telah meninggalkan India untuk pergi ke Manchuria kerana cuba menghubungi tentera Soviet, dan akhirnya dilaporkan telah meninggal dunia dalam suatu nahas udara berhampiran Taiwan. 




1 comments:

  1. thanx 4 sharing sis.. berguna utk kami yg blurr nk wat tugasan ttg tajuk ni... :)

    ReplyDelete