Click Here For Free Blog Templates!!!
Blogaholic Designs

Pages

Friday, May 3, 2013

Perkembangan pendidikan Tamil zaman kolonial sehingga kemerdekaan Tanah Melayu



PENGENALAN

Pendidikan Tamil pada umumnya dianggap tidak mempunyai nilai ekonomi. Namun, masyarakat telah berjuang bersungguh-sungguh untuk memelihara dan mengembangkan Sekolah Tamil di negara ini. Untuk memahami perjuangan ini, sejarah perkembangan pendidikan Tamil perlu di tampilkan. Masyarakat India bukan sahaja tidak berupaya menampung kos menguruskan sekolah, malah tidak juga wujud ramai tauke yang bermurah hati untuk membina sekolah bagi masyarakat di sekelilingnya. Maka, bilangan sekolah yang diasaskan oleh masyarakat India tidak banyak. Tambusamy Pillai misalnya telah mengasaskan sebuah sekolah atas namanya sendiri pada tahun 1906 untuk anak-anak buruh kereta api di Sentul. Menjelang waktu itu juga, Mission Ramakrishna telah memulakan sekolah Tamil Vivekananda di Kuala Lumpur. Usaha ini telah membawa kepada pengasasan 122 buah sekolah Tamil menjelang 1922.

KEMASUKAN ORANG INDIA KE TANAH MELAYU

Seringkali diketahui bahawa orang India hadir ke Tanah Melayu ekoran daripada kemajuan perusahaan getah, tetapi hakikatnya mereka telah datang dan bekerja di ladang-ladang kopi dan gula yang dalam pertengahan abad ke19. Sebelum ladang-ladang getah diusahakan secara besar-besaran pendatang India ini telah ditempatkan di ladang-ladang tebu seperti di Seberang Prai di utara Perak dan ladang kopi di Selangor. Buruh-buruh India telah mula datang sejak daripada pembukaan Pulau Pinang oleh British. Apabila British mula meluaskan pengaruhnya dari Negeri-Negeri Selat ke Negeri-Negeri Melayu buruh-buruh India juga turut dibawa masuk bersama ke Tanah Melayu. Maka, permintaan terhadap tenaga-tenaga buruh dari India semakin bertambah. Kebanyakan pendatang dari India ini berasal dari Negapatam dan Madras.

Faktor kemiskinan dan kebuluran di India mendorong orang India berhijrah ke negara-negara lain termasuk Tanah Melayu. Selain faktor kemiskinan di India, terdapat juga faktor perubahan politik di India yang berkaitan dengan kedatangan British ke negara itu dan membawa bersama-sama dasar-dasar baru untuk dilaksanakan di India. Selain itu, antara perkara penting yang mendorong orang India berhijrah keluar adalah berkaitan dengan sistem kasta. Sistem kasta mempunyai banyak larangan terutama kepada mereka yang terdiri daripada kasta rendah. Golongan kasta rendah sering dizalimi oleh kasta atasan. Mereka tidak berpeluang untuk hidup dalam keadaan yang baik tambahan pula anak-anak daripada kasta bawah tidak diberi peluang untuk belajar serta tidak berpeluang untuk mendapatkan pekerjaan. Oleh itu, orang India membuat keputusan untuk berhijrah supaya mereka bebas daripada kongkongan sistem kasta di India.
Kemasukan mereka yang pesat dan jumlah yang ramai apabila perusahaan getah dibuka dengan besar-besaran di Tanah Melayu. Terdapat anggaran bahawa antara tahun 1922 hingga 1920 jumlah kemasukan mereka dianggarkan seramai 908,000 orang. Pertambahan yang pesat ini adalah disebabkan oleh keluasan ladang-ladang getah di Tanah Melayu. Keadaan ini menunjukkan bahawa kemasukan orang India ini bergantung kepada perkembangan perusahaan getah. Semakin banyak  ladang getah yang dibuka semakin ramailah orang India yang datang. Oleh itu, kemajuan perusahaan getah tidak dapat lagi dipisahkan dengan orang-orang India. Buruh-buruh India yang tidak mahir selalunya hidup miskin dan dalam keadaan yang amat menyedihkan. Walaupun rumah-rumah didirikan tetapi keadaannya tidak sempurna dan kesihatan mereka terbiar. Perkara ini menyebabkan kematian pendatang India adalah tinggi. Pada tahun 1908  sejumlah 5419 orang telah mati akibat pelbagai penyakit.
Kerajaan British telah melantik beberapa orang pegawai buruh dan menempatkannya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Jumlah pegawai ini telah bertambah dan ditempatkan di kawasan perladangan. Pegawai-pegawai ini terdiri daripada orang-orang British yang telah dilatih khas di Madras dan mahir dalam bahasa Tamil Telegu serta kebudayaan India. Selain daripada sumbangan tenaga kepada sektor getah, buruh-buruh India ini juga memberi sumbangan tenaga kepada kemajuan sistem perhubungan. Jalan-jalan kereta api dan jalan raya yang banyak dibina pada awal abad ke 20 banyak menggunakan tenaga buruh India.

SEKOLAH TAMIL PERTAMA

Sekolah Tamil pertama ialah Sekolah Penang Free. Sekolah ini telah memulakan satu kelas Tamil pada tahun 1816. Dr. R.S Hutching adalah orang yang pertama mengasaskan sekolah di Pulau Pinang. Sekolah ini dibuka kepada semua kanak-kanak dari semua bangsa. Tindakan ini sebenarnya ialah kesinambungan daripada aktiviti penyebaran agama oleh mubaligh Kristian di Madras. Di situ mereka telah mengasaskan sekolah vernakular di kawasan-kawasan pendalaman untuk menyebarkan agama. Usaha ini telah dilanjutkan di Malaya apabila buruh India dibawa di sini. Kelas bahasa Tamil juga pernah diadakan di negeri-negeri Selat lain seperti di Singapura dan Melaka. Malangnya sekolah ini tidak dapat kekal lama kerana tiada pelajar yang mencukupi untuk mengikuti kelas-kelas ini.
Sekolah-sekolah ini diasaskan hanya di bandar sahaja. Golongan buruh pada masa tersebut adalah terdiri daripada masyarakat yang buta huruf. Mereka tidak memikirkan hal berkaitan dengan persekolahan. Keadaan ini menyebabkan mereka tidak mengharapkan penubuhan sekolah. Dalam waktu yang sama pengurus estet juga tidak mengambil berat akan keperluan ini. Keadaan ini berubah apabila Kanun Buruh 1923 mewajibkan pembekalan kemudahan pendidikan bagi kanak-kanak buruh India dalam lingkungan umur antara 7 hingga 14 tahun. Namun, terdapat juga majikan estet yang masih enggan menunaikan keperluan ini kerana pelaksanaannya memakan kos yang tinggi. Di kebanyakan kawasan estet, bangunan khas bagi sekolah tidak dibina tetapi rumah asap telah digunakan sebagai sekolah. Para majikan juga tidak berusaha untuk melantik guru yang berkelayakan untuk mengajar di sekolah-sekolah ini. Sebaliknya, guru-guru ditugaskan kepada kerani, pembantu hospital dan sesiapa sahaja yang mempunyai masa lapang untuk mengajar.
Pada peringkat awal sambutan bagi sekolah Tamil tidak memberangsangkan langsung. Namun, bilangan sekolah dan jumlah pelajar semakin bertambah dari semasa ke semasa. Sebagai contoh ialah pada tahun 1925 telah wujud 235 buah sekolah dengan 8,153 pelajar. Lima tahun kemudian bilangan ini meningkat kepada 333 buah sekolah dan 12,640 pelajar. Sekolah-sekolah Tamil didirikan di kawasan estet-estet sebagai memenuhi kehendak masyarakat India yang tinggal di  kawasan ladang-ladang getah. Sekolah-sekolah Tamil ini mendapat bantuan daripada kerajaan. Pemimpin-pemimpin di kawasan India berusaha untuk mendirikan sekolah bahasa mereka sendiri di kawasan bandar yang mempunyai masyarakat India yang ramai. Namun begitu, usaha ini mendapat rintangan akibat daripada kesusahan untuk mendapatkan tenaga pengajar. Masalah ini menyebabkan sekolah swasta India di bandar-bandar bagaikan hidup segan mati tak mahu.

SEKOLAH TAMIL DAN PERKEMBANGANNYA

Sejarah sebenar sekolah Tamil bermula dengan kemajuan ladang kopi, gula, kelapa dan akhirnya getah. Tujuh puluh tahun seterusnya, sekolah-sekolah kecil di adakan di ladang-ladang di Province Wellesly, Melaka, Johor Utara dan biasanya merebak ke Tanah Melayu ini apabila diperlukan oleh penduduk India. Sekolah Tamil bermula dengan penubuhan sekolah secara persendirian oleh penubuhan dakwah Kristian ataupun oleh orang perseorangan dalam sesuatu masyarakat.
Namun begitu, penubuhan sekolah Tamil ini jauh ketinggalan berbanding dengan sekolah Melayu dan Cina serta bilangan pelajar bagi sekolah Tamil juga adalah sedikit. Oleh kerana masyarakat India tertumpu di kawasan estet ekoran daripada kegiatan ekonomi mereka yang bergantung kepada perladangan getah menyebabkan sekolah-sekolah kecil ditubuhkan di kawasan estet. Sekolah di kawasan estet ini mula beroperasi pada tahun 1870. Pihak British tidak menghiraukan hal berkaitan dengan pendidikan masyarakat India kerana pihak British tidak ingin campur tangan dalam kebajikan kaum pendatang.
Keadaan ini talah mengakibatkan sekolah-sekolah Tamil terbiar dan tidak terurus. Kerajaan British telah menggubal satu akta buruh pada tahun 1923 ekoran daripada permintaan kerajaan India supaya anak-anak buruh India diberi kemudahan pendidikan. Dasar ini mewajibkan pengusaha-pengusaha ladang dan estet mendirikan sekolah di ladang masing-masing jika terdapat sepuluh atau lebih kanak-kanak pada usia prasekolah iaitu antara umur enam hingga 12 tahun. Kesan daripada dasar ini telah menyebabkan pertumbuhan sekolah-sekolah Tamil dan boleh dikatakan setiap ladang di kawasan masyarakat India akan terdapatnya sebuah sekolah. Pada peringkat ini kerajaan British tidak lagi campur tangan dan hanya membiarkannya dikendalikan sepenuhnya oleh pengusaha-pengusaha ladang terbabit. Perkara ini telah menimbulkan banyak dan segala masalah tersebut tidak dapat diselesaikan. Sikap dan komitmen yang ditunjukkan oleh masyarakat India itu sendiri merupakan sebab utama tidak berlakunya perkembangan dalam pendidikan sekolah Tamil ini.
Tujuan mereka menubuhkan sekolah-sekolah tersebut hanya untuk mematuhi Akta Buruh 1923 di samping menjadikannya sebagai satu daya tarikan kepada orang India untuk datang dan bekerja di ladang mereka memandangkan terdapat kemudahan pendidikan untuk anak-anak mereka mendapatkan pelajaran. Keadaan ini membuktikan bahawa penubuhan sekolah di ladang-ladang bukanlah merupakan satu kesedaran pengusaha-pengusaha ladang terbabit tentang betapa pentingnya pendidikan untuk anak-anak mereka. Oleh itu, sistem pendidikan di sekolah-sekolah berkenaan terbiar begitu sahaja kerana pengusaha-pengusaha ladang tidak berminat untuk mengambil tahu tentang apa yang berlaku di sekolah-sekolah berkenaan termasuk kemudahan-kemudahan fizikal yang amat daif dan persekitaran yang tidak sesuai untuk pembelajaran.
Situasi sebelum tahun 1937 ini melahirkan keadaan yang tidak menentu dari aspek matapelajaran dan kandungan kurikulum hal ini kerana pelajar hanya diajar ilmu asas sahaja seperti membaca, menulis dalam bahasa Tamil, mengira dan ilmu alam pada peringkat yang lebih tinggi. Peringkat yang lebih tinggi merujuk kepada tahun empat dan lima. Sekolah Tamil hanya menyediakan sekolah sehingga tahun lima sahaja. Buku-buku teks yang digunakan dibawa dari India. Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris tidak diajar kepada pelajar Tamil disekolah tersebut. Pendidikan yang rendah ini tidak mampu untuk membantu pelajar untuk terus maju dalam bidang pendidikan. Sekaligus menyebabkan kaum India tidak mampu untuk bersaing dengan kaum lain seperti Melayu dan Cina. Tambahan lagi, ibu-bapa yang inginkan anak-anak mereka untuk sambung belajar ke peringkat menengah dan pendidikan yang lebih tinggi tidak mempunyai pilihan lain untuk menghantar anak mereka ke sekolah Inggeris.
Masalah ini telah membuatkan Kerajaan British memperbaiki sistem pendidikan disekolah Tamil. Selain daripada melatih guru-guru di maktab perguruan yang sedia ada, kurikulum yang diajar juga telah ditingkatkan bersesuaian dengan perkembangan semasa. Sebagai contoh, kerajaan British telah memperkenalkan kurikulum yang menitik beratkan tentang kemahiran dalam bidang-bidang pekerjaan tertentu seperti pengusahaan tanah untuk pertanian dan kemahiran pemburuhan. Pembelajaran ini tidak menfokuskan kepada kemahiran membaca sahaja malah dapat membantu para pelajar dalam menjalankan kehidupan seharian dengan lebih berilmu.

 PENYELIAAN DAN PENTADBIRAN SEKOLAH-SEKOLAH TAMIL

Sehingga tahun 1925, sekolah-sekolah Tamil tidak mempunyai sebarang penyeliaan yang sempurna. Pada masa itu sekolah-sekolah ladang diurus oleh pengurus ladang, sekolah-sekolah Mission diselia oleh paderi-paderi agama dan sekolah-sekolah kerajaan diselia oleh pegawai-pegawai kerajaan. Dari tahun 1925-1941, terdapat 90 buah sekolah India di negeri Perak. Beberapa orang Guru Pelawat telah dilantik untuk menyelia sekolah-sekolah ini. Guru Pelawat yang pertama dilantik pada tahun 1924 adalah Encik. V.T. Selvarajah. Untuk membantu meningkatkan prestasi sekolah Tamil, jawatan nazir sekolah diadakan pada tahun 1930.

PENOLONG PENYELIA

Selepas perlantikan guru-guru pelawat, beberapa orang penolong penyelia dilantik bagi penyeliaan sekolah-sekolah tamil. Mereka mempunyai, hubungan  yang rapat dengan pejabat pelajaran dan mempunyai kuasa yang lebih daripada guru-guru pelawat. Guru-guru pelawat juga dinaikan pangkat menjadi Penolong Penyelia. Selepas perlantikan Penolong-Penolong Penyelia, terdapat juga beberapa orang guru pelawat di beberapa daerah. Pada tahun 1947, Senior Inspector of Schools  Perak masa itu, Encik E.C. Hicks berpendapat bahawa negeri Perak hendaklah mempunyai seorang Penyelia bagi sekolah-sekolah India negeri Perak. Dengan itu, Encik S. Sinnaiah (1947-1955) telah dilantik sebagai “Inspektor Sekolah-Sekolah India” yang pertama di negeri Perak.
Semasa Encik S. Sinnaiah pentadbiran penyeliaan sekolah-sekolah India dibahagi kepada empat iaitu kawasan yang tertentu iaitu kawasan utara di Taiping, kawasan selatan di Teluk Intan, kawasan tengah di Kuala Kangsar dan kawasan ibu pejabat di Ipoh. Penolong-penolong penyelia berpejabat di kawasan masing-masing. Selepas persaraan Encik S. Sinnaiah pada tahun 1954, En. S. Sabaratnam dilantik untuk menggantikan jawatan S. Sinnaiah. Semasa En. S. Sabaratnam menjadi Inspektor sekolah-sekolah India, “Inspektor sekolah-sekolah India” ini dikenali sebagai Pengelola Sekolah-Sekolah India atau “Organizer of Indian School”. Hal ini menunjukkan pada ketika itu sudah terdapat penyeliaan di sekolah-sekolah Tamil ini namun pencapaiannya masih lagi tidak memuaskan.

GURU SEKOLAH TAMIL SEMASA KOLONIAL

KELAYAKAN GURU SEKOLAH TAMIL

Guru-guru sekolah Tamil tidak terlatih dan gaji yang sangat rendah. Tambahan lagi, orang-orang Tamil yang berkelayakkan tinggi enggan menjadi guru sekolah Tamil sebelum negara mencapai kemerdekaan. Hal ini adalah kerana gaji guru sangat kurang, dan kesukaran guru-guru mengajar kelas-kelas bercantum. Tambahan lagi, keadaan sekolah Tamil yang sangat buruk. Oleh itu, mereka yang berkelulusan darjah 4 digalakkan untuk menjadi guru oleh guru besar. Selepas Perang Dunia kedua, mereka yang berkelulusan darjah lima, darjah enam dan tujuh di lantik menjadi guru besar. Imigran dari India dan Ceylon yang mempunyai kelayakkan yang setaraf juga digalakkan untuk menjadi guru di sekolah-sekolah Tamil.
Tambahan lagi, para majikan juga tidak berusaha untuk melantik guru yang berkelayakan untuk mengajar di sekolah-sekolah ini. Sebaliknya kerani, guru terdiri daripada kerani ladang, pembancuh ubat, kangani atau bekerja sendiri. Pendapat ini turut disokong oleh Barbara Watson Andaya dan Leonard Y Andaya di mana guru-guru sekolah Tamil ini seringkali merupakan buruh India yang direkrut (kangani), kerani, dan kadangkala buruh yang celik akal yang bekerja di estet-setet. Hal ini menunjukkan bahawa ketika itu, pendidikan tidak di ambil berat oleh pihak British. Hal ini adalah kerana guru merupakan insan yang seharusnya yang boleh mengajar dengan baik dan haruslah profesionalisme di mana telah mengambil kursus-kursus perguruan bagi memastikan murid-murid mendapat ilmu yang bermanfaan bahkan berguna pada masa akan datang.

LATIHAN PERGURUAN SEKOLAH TAMIL

Pada awalnya tidak ada sebarang latihan perguruan bagi guru-guru sekolah India. Keadaan ini adalah berbeza dengan sekolah Cina. Walaupun kerajaan British sering mendesak para pengusaha ladang berkenaan untuk menggajikan guru-guru sepenuh masa, tetapi ia sukar dipenuhi kerana boleh dikatakan tiada yang mahu berbuat demikian. Masalah ini selesai pada tahun 1937 apabila kerajaan British memberi ruang kepada bakal-bakal guru dilatih di maktab-maktab perguruan yang telah sedia ada. Namun, tindakan ini dianggap lewat dan merugikan kaum India sehingga S.Arasaratnam menganggap bahawa pendidikan Tamil sebelum tahun ini adalah sesuatu yang memalukan.
Latihan perguruan Tamil pertama kali dimulakan di Taiping pada tahun 1940 selama dua tahun. Latihan perguruan juga dimulakan di Ipoh pada tahun 1941. Pada tahun 1947 latihan perguruan dimulakan semula di Ipoh dan penuntut penuntut yang memulakan latihan pada tahun 1941 tetapi tidak menamatkan kursus perguruan itu dimasukan dalam tahun kedua kursus perguruan di Ipoh. Dari 1947 hingga ke tahun 1949 kursus perguruan memakan masa selama dua tahun. Akan tetapi semenjak tahun 1950 kursus tersebut mengambil masa tiga tahun pula. Kelulusan latihan perguruan ini diberi taraf peringkat seperti Gred 1, Gred 2 dan Gred 3 dan diberi kenaikan gred gaji mengikut gred yang diperolehi. Latihan perguruan yang dijalankan di Taiping tidak diteruskan kerana Perang Dunia Kedua. Kelas yang dijalankan di Teluk Anson mulai 1954 juga tidak diteruskan kerana kekurangan kemudahan. Tetapi latihan perguruan yang dijalankan di Ipoh pada tahun 1947 terus berjalan sehingga tahun 1962. 
   
 PEPERIKSAAN PENDIDIKAN TAMIL

Peperiksaan amat penting untuk mengukur sejauh manakah pencapaian setiap pelajar dalam mata pelajaran. Peperiksaan di sekolah Tamil dijalankan dengan dua cara iaitu dengan cara penulisan dan secara lisan. Murid-murid yang tidak lulus peperiksaan akan ditahan dalam darjah yang sama sehinggalah murid-murid tersebut memperoleh kelulusan dalam peperiksaan tersebut. Selain itu, murid-murid yang cerdik juga diberi kenaikan darjah. Pada mulanya guru-guru besarlah yang menjalankan peperiksaan tersebut bagi darjah 1, 2 dan tiga dan soalan-soalan tersebut di sediakan oleh guru-guru besar itu. Selepas itu, sebelum Perang Dunia Pertama, guru-guru pelawat (visiting teacher) melawat sekolah  dan menjalankan peperiksaan bagi darjah 3, 4 dan 5. Selepas Perang 1941 sehingga 1956, beberapa pusat telah ditubuhkan bagi menjalankan peperiksaan dan dijalankan oleh pusat-pusat kerajaan.
Dari tahun 1941 hingga 1956 beberapa buah darjah tujuh dijalankan dengan kerjasama penyelia-penyelia sekolah dan kesatuan-kesatuan guru di beberapa daerah. Tujuan darjah tujuh dijalankan di sekolah tamil adalah untuk meningkatkan taraf pelajaran serta mutu kefasihan bahasa, menggalakkan penuntut-penuntut menjadi guru-guru sekolah Tamil dan darjah tujuh inilah dianggap sebagai kelayakan menjadi guru sekolah Tamil, meningkatkan dan meluaskan pengetahuan ilmu hisab, sejarah, ilmu alam dan sebagainya.
Semua pusat darjah tujuh ini di jalankan dengan kelolahan kesatuan-kesatuan guru dengan kerjasama penyelia-penyelia sekolah India. Sukatan Pelajaran dan peperiksaan darjah tujuh ini telah dijalankan dan diiktirafkan oleh Kementerian Pelajaran. Tetapi guru-guru yang mengajar darjah tujuh ini tidak dibayar elaun atau gaji oleh kementerian. Pada tahun 1957-1960 peperiksaan Darjah tujuh inilah di anggap sebagai “peperiksaan penyediaan bagi guru-guru” dan di jalankan oleh Kementerian Pelajaran.

INFRASTRUKTUR SEKOLAH TAMIL

Kemudahan infrastruktur sekolah merupakan asas atau tunjang kepada asas penubuhan sekolah. Pada awal penubuhan sekolah Tamil, infrastrukturnya amat tidak memuaskan. Hal ini adalah kerana pihak British menganggap orang India yang datang bekerja di Semenanjung Tanah Melayu adalah bersifat sementara. Tambahan lagi, walaupun majikan memulakan sekolah Tamil di ladang tetapi mereka tidak memerhatikan kemudahan-kemudahan yang diperlukan seperti yang asas, sebuah bangunan yang baik. Kebanyakan sekolah di ladang-ladang tidak mempunyai kemudahan yang lengkap, seperti bilik darjah yang cukup dan alatan-alatan yang tidak lengkap. Pada awalnya, kelas-kelas murid dijalankan dalam sebuah pondok atau serambi yang tidak beratap.
Kemudian, sistem ini dihapuskan apabila ladang-ladang getah secara meluas dimodenisasikan dan majikan menubuhkan bangunan sekolah. Namun begitu, sekolahnya sangat tidak memuaskan hati. Bangunannya buruk. Hal ini jelas menunjukkan bahawa kemudahan yang terdapat di sekolah Tamil itu banyak mempengaruhi pendidikan anak-anak orang India di Semenanjung Tanah Melayu ketika itu. Oleh itu, tidak hairanlah jika anak-anak orang India ini tidak mendapat pendidikan yang sewajarnya ketika itu.

KURIKULUM PENDIDIKAN TAMIL

MATA PELAJARAN

Mata pelajaran merupakan perkara yang penting dalam kurikulum sekolah. Oleh itu, mata pelajaran yang pelbagai akan memberi pelbagai maklumat kepada murid-murid. Di sekolah Tamil, pengajaran diajar sewenang-wenangnya sahaja tanpa sebarang kurikulum. Disekolah-sekolah Tamil keutamaanya telah diberi untuk pengajaran bahasa dan sastera Tamil. Buku-buku yang digunakan diimport dari Madras. Kebanyakan guru yang yang bertugas juga tersemai idea-idea reformis sosial. Mereka telah menanam semangat Tamil  dalam kalangan kanak-kanak sekolah ini. Pelajar keluaran sekolah inilah yang telah terpikat dengan idea-idea yang dianjurkan oleh golongan elit Tamil seperti Sarangapany.
Sebelum Perang Jepun iaitu sebelum 1945 beberapa mata pelajaran telah diajar. Pelajaran Bahasa Tamil mengandungi beberapa bahagian seperti nyanyian, cerita, puisi, bacaan dan bahasa. Pelajaran Ilmu Hisab juga diutamakan. Pelajaran ilmu alam dikenalkan dengan tajuk “Penghidupan Manusia di Dunia”. Pelajaran-pelajaran seperti ilmu kesihatan, kebun, pendidikan jasmani, lukisan dan pertukangan dan pengatahuan am juga di ajar. Selepas merdeka mata pelajaran sains telah diperkenalkan dengan tajuk “Pelajaran Alam Semulajadi” dan sejarah tempatan juga diajar.
Pada mulanya murid-murid menulis dengan jari telunjuk di atas tanah, dan ada kalanya jari itu akan berdarah akibat tekanan. Selepas itu penulisan atas papan batu diperkenalkan. Mereka menulis dengan mengunakan kalam. Murid-murid dibenarkan menulis dalam buku rampaian hanya selepas mahir menulis. Sebelum masuk belajar dalam darjah satu, murid-murid belajar dalam kelas-kelas “primary”. Murid-murid yang tamat darjah tiga boleh menulis bahasa Tamil dengan fasih tanpa kesalahan.

BUKU TEKS           

Pada mulanya jumlah murid yang belajar bahasa Tamil adalah sangat sedikit. Semua sekolah rendah Tamil ini merupakan sekolah yang tidak formal. Oleh itu, sekolah-sekolah ini tidak mempunyai sebarang sukatan pelajaran. Tujuan sekolah Tamil pada masa itu adalah hanya untuk memberi pengetahuan bahasa bagi tujuan pertuturan dan penulisan sahaja. Sukatan pelajaran yang digunakan di sekolah-sekolah ini pada masa itu adalah berdasarkan pada sukatan pelajaran yang terdapat di India Selatan. Buku-buku yang digunakan semuanya di import dari Madras.
Semua sukatan pelajaran itu mengandungi unsur dan latar belakang Ceylon dan tidak merujuk kepada Tanah Melayu. Semua buku dikarang di  India mengikut keadaan di situ. Oleh itu, buku-buku teks ini berorientasikan India. Murid-murid sekolah Tamil tidak mendapat inspirasi kebangsaan di sekolah. Hanya menjelang 1940-an penulis tempatan mula menulis buku-buku Tamil dan juga terjemahan buku dalam Bahasa Inggeris ke Bahasa Tamil. Namun keadaan sekolah Tamil ini berubah apabila Semenanjung Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

PEMBIAYAAN PENDIDIKAN TAMIL

Pendidikan Tamil yang wujud di Tanah Melayu pada mulanya adalah daripada dasar penjajahan British iaitu ‘pecah dan perintah’ serta dasar terbuka yang tidak mencampuri urusan dalam pendidikan vernukular. Hal ini,  berikutan daripada sikap British itu sendiri yang tidak menganggap bahawa pendidikan itu sebagai suatu pelaburan dalam meningkatkan kemahiran dan kebolehan rakyat untuk mencapai kemajuan. Oleh itu, kesan daripada dasar yang telah diwujudkan oleh British menyebabkan wujudnya pendidikan plural berikutan daripada kewujudan masyarakat majmuk di Tanah Melayu. Sekolah-sekolah Tamil ini mulai wujud atas kerjasama daripada kumpulan mubaligh Kristian di samping dengan kerjasama daripada majikan ladang tempat masyarakat India bekerja. Hal ini sedia maklum bahawa masyarakat India yang telah bermigrasi ke Tanah Melayu telah tinggal di kawasan-kawasan estet dan bekerja di ladang-ladang. Sehubungan dengan itu, menurut John Gullick, sekolah vernakular Tamil adalah terasing berbanding dengan sistem pembelajaran yang lain seperti sekolah Cina dan sekolah Melayu.
Walaupun pihak British tidak menganggap bahawa pendidikan merupakan salah satu pelaburannya tetapi selepas tahun 1900 pihak British telah berusaha untuk memberikan bantuan kepada sekolah Tamil di ladang-ladang. Sekolah-sekolah Tamil yang telah wujud di Tanah Melayu terdiri daripada sekolah rendah Tamil yang mendapat bantuan daripada kerajaan Inggeris, sekolah rendah Tamil yang diurus oleh majikan, sekolah rendah Tamil yang diusahakan oleh Persatuan Mubaligh Kristian dan sekolah rendah Tamil yang ditadbir oleh masyarakat India.
Perubahan polisi walau bagaimanapun telah dibuat dalam tahun 1902 apabila bertambah perlu mendapatkan buruh dari India yang lebih stabil dan murah mempengaruhi Persidangan Residen mengambil keputusan bahawa kemudahan-kemudahan dierluaskan kepada pengajaran di sekolah Tamil. Oleh itu, lahirlah kod buruh dimana penguatkuasaan Kod Buruh 1925 di Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah memberikan impak yang besar terhadap sekolah-sekolah Tamil di Tanah Melayu di mana pihak yang berwajib iaitu bahagian pengurusan ladang diwajibkan untuk menyediakan sebuah sekolah dan guru jika mempunyai kanak-kanak lebih daripada 10 orang. Kanak-kanak ini terdiri daripada kanak-kanak yang berumur sekolah iaitu berumur antara 7-14 tahun. Oleh itu, peruntukan tahunan (percapita annual grant) telah diberikan berdasarkan kepada pencapaian peperiksaan dan purata kedatangan murid dalam sekolah Tamil tersebut. Kerajaan juga membiayai beberapa buah sekolah yang tidak bayar yuran terutamanya kawasan-kawasan bandar bagi anak-anak pekerjanya, kebanyakannya yang bekerja dengan Jabatan Kerja Awam dan Keretapi.
Sehubungan dengan itu, pada tahun 1938, terdapat beberapa usaha yang dilakukan oleh beberapa sekolah Tamil dengan memberikan pakaian seragam percuma kepada murid-muridnya dan juga pemberian hadiah berupa beras kepada murid-murid yang mempunyai kedatangan yang memuaskan. Tambahan pula, kerajaan Inggeris memberikan grand-in aids kepada sekolah-sekolah rendah Tamil. Pada tahun 1948, perbelanjaan bagi melengkapkan infrastruktur ke atas sekolah Tamil telah meningkat iaitu sebanyak $145,700.83 bagi membeli buku dan perabot. Selain itu, yuran persekolahan juga dikenakan terhadap murid-muridnya dengan anggaran yuran daripada 25 sen sehingga $1.50 sebulan. Manakala bagi murid-murid yang tidak berkemampuan telah menerima pendidikan secara percuma. Grant In aid yang diberikan kepada pelajar-pelajar sekolah Tamil adalah sebanyak $6.66 bagi setiap pelajar di Negeri-negeri Selat dan $5.68 bagi setiap pelajar di Negeri-negri Melayu Bersekutu.
Pihak kerajaan juga telah memperuntukkan sedikit belanjawan terhadap sistem pendidikan di Tanah Melayu. Walau bagaimanapun, peruntukan yang telah diberikan adalah tidak seimbang dengan aliran-aliran sekolah yang lain. Perhatian yang lebih diberikan kepada sekolah aliran Inggeris dan Melayu. Perkara yang jelas dapat dilihat antara tahun 1948 sehingga 1957 berlaku kejatuhan peratusan peruntukan yang diberikan oleh kerajaan kepada sekolah Tamil. Kejatuhan peruntukan bagi sekolah Tamil ini mempunyai kaitan dengan kadar pertambahan murid yang tidak begitu besar di sekolah Tamil berbanding dengan sekolah aliran lain. Di samping itu, ia menggambarkan juga bahawa kurangnya perhatian yang diberikan oleh pihak kerajaan terhadap sekolah India.

DASAR PENDIDIKAN SEMASA PEMERINTAHAN KERAJAAN BRITISH DAN JEPUN YANG MEMPENGARUHI PERKEMBANGAN PENDIDIKAN TAMIL
ORDINAN 1935

Dalam Ordinan 1935 ini, mewajibkan pendaftaran semua sekolah Tamil di Tanah Melayu. Orang India menghantar anak mereka ke sekolah pada ketika itu adalah untuk memastikan bahasa dan budaya mereka dari India terus subur. Hal ini kerana, segala aspek lebih menjurus kepada India dan bukannya Tanah Melayu kerana masih lagi menggunakan buku-buku yang digunakan dari India dan Ceylon yang mana langsung tidak berkaitan dengan Tanah Melayu. Begitu juga dengan isi kandungannya yang berpusat kepada negara India. Mereka tidak mempedulikan semangat perpaduan di kalangan kaum. Mereka juga sebenarnya tidak mementingkan pelajaran kerana tanggapan mereka yang hanya ingin menetap sementara di Tanah Melayu. Orang India juga tidak berminat terhadap sekolah Melayu. Cadangan Sir Cecil Clementi pada tahun 1933 iaitu untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah vernakular Cina dan Tamil telah mendapat tentangan hebat daripada kedua-dua kaum tersebut.
Dalam Penyata Tahunan Pelajaran, H.R Cheeseman, Pengarah Pelajaran menghuraikan tentang kemajuan yang dibuat oleh sekolah-sekolah Tamil bagi tahun 1941 iaitu antaranya murid-murid dalam darjah lima dan enam telah bertambah dan 80 peratus sekolah tersebut mempunyai kebun dan secara keseluruhannya telah memberikan gambaran yang menggalakkan. Dan sama seperti sekolah Melayu,  sekolah Tamil juga turut memberikan jalan buntu kerana tidak membawa muridnya ke mana-mana kecuali terus berada di ladang sebagai buruh kepada pihak pengurusan.

PENDIDIKAN TAMIL SEMASA PENDUDUKAN JEPUN

Semua sekolah India telah ditutup sehingga di buka semula secara rasmi pada bulan Julai 1942, apabila dasar pelajaran baru telah dilaksanakan di semua sekolah India termasuk sekolah yang ditubuhkan oleh orang-orang persendirian telah beroperasi di bawah kendalian kerajaan secara langsung. Sebagai contoh, dari 14 buah sekolah di Selangor yang terus beroperasi semula pada 1 Julai 1942, lima darinya menjadi sekolah kerajaan manakala selebihnya masih lagi secara persendirian. Bekas-bekas sekolah Tamil kerajaan berada dalam keadaan yang berbeza kerana kebanyakannya telah di rompak manakala sekolah-sekolah swasta secara amnya telah menyelamatkan peralatan dan barangan mereka. Enam bulan seterusnya, lapan buah sekolah telah dibuka dan membawa jumlah keseluruhan pada akhir tahun 1942 kepada 22 buah sekolah termasuklah 19 Tamil, 1 sekolah Singh, 1 Punjabi dan 1 Hindi.
Yuran sekolah semasa pendudukan Jepun ialah tetap di mana tahun 1, 2 dan 3 adalah $1.00 sebulan, tahun 4 dan 5 adalah $1.50 dan tahun 6 dan 7 adalah $2.00. Pada bulan Disember 1942, yuran berkurang sebanyak $1.00 sebulan bergantung pada tahun murid-murid tersebut. Hal ini adalah kerana yuran ini membebankan keluarga orang India yang mempunyai pendapatan yang rendah. Inspektor sekolah Tamil memetik editorial pada 4 dan 5 Januari di mana di dalam akhbar terkemuka Tamil Nessan, menyatakan terima-kasih untuk polisi yang bermanfaat dan harapan bahawa dari Tahun 1, 2 dan 3 akan dikurangkan yuran sekolahnya pada masa yang terdekat.
Kurikulum pendidikan Tamil semasa pendudukan Jepun tidak banyak berubah kecuali mata pelajaran sejarah dan geografi telah dihapuskan dalam sistem pelajaran pendidikan Tamil. Selain itu juga, kandungan buku yang mengandungi unsur-unsur pro Barat dan pro Amerika telah di buang dari kandungan buku teks. Sekolah-sekolah ini mengikut telunjuk Jepun, penekanan diletakkan pada latihan fizikal selama satu jam setengah pada setiap pagi dengan menumpukan aktiviti permainan dan kalistenik.
Polisi pelajaran pada waktu itu bukan untuk memajukan atau memperkembangkan bidang pendidikan sebaliknya sekolah sebagai alat propaganda bagi pemerintah Jepun iaitu untuk menyalurkan perasaan benci terhadap Inggeris dan menghormati bangsa Jepun. Sebagai contoh, di Pulau Pinang, beberapa buah sekolah Tamil menambah bilik darjah yang mungkin digunakan untuk mengajar bahasa Jepun iaitu Sekolah Tamil Ladang Mayfield, Sekolah Tamil Tasek Gelugor, Sekolah Tamil Ladang Malakoff dan Sekolah Tamil Ladang Palaniandy. Manakala sekolah-sekolah lain di seluruh Pulau Pinang ditutup pada masa ini.
Tambahan lagi, di Selangor, mata pelajaran Jepun di ajar di semua sekolah  dan guru di Kuala Lumpur, Port Swettenhem, Klang dan Kajang menghadiri sekolah sesi petang untuk memperbaiki Nippon-go. Pada masa tersebut, tidak ada pogram yang dibentuk untuk guru-guru untuk belajar. Terdapat sebilangan guru Jepun yang mengajar dalam kelas-kelas ini di sekolah tamil. Instruktor Melayu di letakkan di lapan sekolah Tamil untuk mengajar membuat bakul dan penyapu. Hal ini menunjukkan bahawa Jepun juga menitik beratkan pendidikan di sekolah-sekolah Tamil selepas mengambil alih pemerintahan daripada British.

POLISI PENDIDIKAN YANG DIPERKENALKAN SEMASA MALAYAN UNION

Kedatangan British dengan dasar pecah dan perintah telah menyebabkan pendidikan di Tanah Melayu berkembang secara berasingan. Tambahan pula, sehingga tahun 1946          tiada satu sistem atau falsafah pendidikan yang menjadi panduan kepada asas pendidikan di Tanah Melayu. Namun, pihak British telah menyedari bahawa dasar pecah dan perintah akan menyebabkan berlakunya perpecahan kaum dan boleh menyebabkan terjadinya ketidakstabilan politik di Tanah Melayu.
Selepas Malayan Union diperkenalkan oleh pihak British satu dasar mengenai pendidikan telah digubal. Oleh itu, dasar pendidikan telah dipusatkan kepada peranan sekolah dan persekolahan dalam membina semangat perpaduan di Tanah Melayu. Menurut ‘Direktif Dasar Jangka Masa Panjang’ bagi Tanah Melayu menyatakan bahawa  perhatian yang khusus harus diberikan kepada usaha mengurangkan pemisahan antara kaum  dengan menambahkan peluang bagi kanak-kanak dari berbagai keturunan untuk bersekolah dan bermain bersama-sama. Hal ini berikutan daripada semangat perpaduan yang dapat mengelakkan wujudnya jurang antara kaum.
Pernyataan pertama tentang pendidikan selepas perang ialah Council Paper yang disediakan oleh H.R Cheeseman, Pengarah Pendidikan dari tahun 1946 sehingga 1948. Rancangan ini menyediakan pelajaran rendah bebas melalui bahasa ibunda iaitu bahasa Melayu, China, Tamil dan Inggeris. Walaupun cadangan Cheeseman diterima secara prinsip oleh Majlis Penasihat Malayan Union, ia tidak menjadi menjadi dasar rasmi kerana kedudukan Cheeseman telah digantikan oleh M.R. Holgate sebagai Pengarah Pendidikan ketika itu.
Perubahan yang pertama untuk menyusun semula adalah terdapat dalam Rancangan Cheeseman mengenai Dasar Pelajaran seperti yang disenaraikan dalam Council Paper No. 53 tahun 1946 bahawa Malayan Union menyarankan supaya pengulasan pengajaran bahasa Inggeris kepada semua sekolah rendah, penubuhan dua jenis sekolah menengah iaitu satu jenis sekolah di mana bahasa pengantarnya ialah Inggeris dengan mempelajari bahasa Ibunda sebagai satu matapelajaran dan dimana bahasa ibunda sebagai satu bahasa pengantar dengan pelajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.
Tambahan lagi, menurut rancangan ini, penggunaan sepenuhnya Penyata Tahunan 1938 mengenai Pelajaran Vokasional di Tanah Melayu. Namun begitu, tidak terdapat persediaan di buat untuk menanam semangat perpaduan di kalangan kanak-kanak Tamil ini. Perbezaan penggunaan bahasa Ibunda jika diteruskan sehingga peringkat menengah akan menyebabkan perbezaan kaum jelas ketara. Dalam Penyata Tahunan yang dikeluarkan mengenai pelajaran, Cheeseman menghuraikan tentang kemajuan-kemajuan yang dibuat oleh sekolah-sekolah Tamil bagi tahun 1941
Walau bagaimanapun, kedua-dua cadangan ini tidak diimplimentasikan dalam dasar pendidikan kerana telah di tamatkan dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu 1948. Justeru itu, bidang pendidikan mula diberikan perhatian dalam memupuk identiti kebangsaan di Tanah Melayu. Walau bagaimanapun, pemupukan ini tidak berjaya disebabkan oleh kepelbagaian aliran pendidikan di Tanah Melayu. Rentetan itu, tindakan yang cuba dilakukan oleh telah mendapat tentangan yang hebat oleh masyarakat India khususnya dan juga masyarakat Cina lalu menyemarakkan semangat etnik bagi mempertahankan sekolah aliran masing-masing.
Kedudukan sekolah Tamil ketika itu seperti sekolah Melayu di mana memberikan jalan yang buntu yang tidak akan membawa murid-muridnya ke mana pun kecuali terus berada di ladang-ladang estet dan memberikan khidmatnya sebagai buruh di ladang. Pada tahun 1949, Jawatankuasa Pendidikan Terawal telah ditubuhkan tetapi telah dikritik dengan lantang dan ditolak dalam Majlis Perundangan Persekutuan. Oleh itu, langkah susulan yang diambil dalam memastikan penyatuan sistem pendidikan berlaku ialah dengan kemunculan Laporan Barnes pada tahun 1950.

LAPORAN BARNES 1950

Pada tahun 1950, kerajaan British telah menubuhkan sebuah jawatankuasa dalam mengkaji sistem pendidikan di Tanah melayu pada ketika itu. Oleh itu, seorang pengerusi telah dilantik iaitu L.J. Barnes yang merupakan pengarah latihan sosial di Universiti Oxford. Melalui laporan ini satu syor telah dicadangkan ke arah satu sistem pendidikan kebangsaan yang menegaskan bahawa sekolah rendah merupakan suatu cara dalam memupuk semangat perpaduan kebangsaan. Laporan tersebut juga telah menekankan bahawa asas persekolahan harus memberi keutamaan dalam bahasa melayu di samping bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantara. Saranan ini dibuat dalam konteks mencapai matlamat ke arah nasionaliti (kebangsaan) di Tanah Melayu dan sekolah rendah merupakan alat bagi perpaduan dan penyatuan masyarakat. Oleh itu, cadangan utama dalam Laporan Barnes ialah kerajaan harus mendirikan satu jenis sekolah rendah kebangsaan bagi kanak-kanak dari semua kaum yang akan mengajar dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.
Menurut Laporan Barnes ini bahawa sekolah Tamil dan Cina tidak sesuai bagi memupuk perpaduan. Hal ini berhubungan dengan hasrat masyarakat Melayu itu sendiri yang ingin mempertingkatkan kedudukannya secara perbandingan dengan kaum lain dan menjadikan dirinya sebagai jentera utama kepada gagasan kebangsaan. Oleh itu, beberapa syor telah disediakan iaitu sekolah-sekolah vernakular yang mengutamakan pelajaran mengikut kaum ditutup dan digantikan dengan satu jenis sekolah rendah yang dikenali sebagai sekolah kebangsaan, sekolah kebangsaan dibuka kepada kanak-kanak semua kaum dan diajar oleh guru-guru daripada pelbagai kaum dan keturunan, sekolah rendah ini menggunakan dua bahasa pengantar, iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, semua murid di sekolah rendah diberi pelajaran percuma selama enam tahun dan akhir sekali Bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar di semua sekolah menengah.
Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di peringkat rendah adalah untuk menjadikannya sebagai bahasa yang boleh berkembang menjadi satu alat penyampaian dan alat komunikasi yang menyeluruh. Oleh itu, masyarakat bukan Melayu khususnya Cina dan India ditegur agar menerima asas perpaduan nasional yang telah disyorkan kerana jika tidak mereka tidak akan diterima oleh orang Melayu sebagai rakyat yang akan bersama-sama untuk membina negara. Secara umumnya Laporan Barnes ini menimbulkan kontroversi dalam kalangan masyarakat India mengenai isu pendidikan.

LAPORAN FENN WU 1951

Syor-syor yang telah dikemukakan dalam Laporan Barnes mendapat tentangan yang hebat terutamanya daripda kaum Cina kerana bimbang bahasa dan budaya mereka terancam berbanding kaum India. Rentetan itu, kerajaan telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengkaji pendidikan Cina. Maka, tertubuhlah Laporan Fenn-Wu 1951 yang menjadi asas dalam mengintegrasikan pendidikan di Tanah Melayu. Jawatankuasa ini telah diketuai oleh Dr. W.P Fenn iaitu seorang pakar yang bertugas di Negara China dan juga Dr. Wu The-Yoa yang merupakan seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Keputusan melantik Dr. William Fenn dari Amerika Syarikat untuk mengetuai jawatankuasa itu telah pun disahkan pada Disember 1950.
Jawatankuasa baru ini dilantik untuk mengkaji pendidikan vernakular Cina. Jawatankuasa ini telah bersetuju dengan pandangan dalam Laporan Barnes bahawa pendidikan adalah tunggak bagi memupuk identiti kebangsaan, tetapi berhujah bahawa identiti kebangsaan harus dibiarkan untuk terbentuk dengan sendiri secara perlahan dan tidak harus dipaksa melalui dasar-dasar kerajaan. Menurut Rajeswari, penentangan daripada kaum India agak lemah kerana persoalan bahasa atau pendidikan tidak menjadi isu serius bagi masyarakat India kerana sebilangan daripada mereka fasih berbahasa Inggeris.
Namun, pada hakikatnya majoriti yang fasih berbahasa Inggeris seperti yang dinyatakan oleh Rajeswari merupakan bukan orang Tamil dan mereka tidak berminat dalam pendidikan Tamil. Tambahan pula, masyarakat Cina pada waktu tersebut telah mempunyai pesatuan-persatuan khas bagi pemeliharaan dan pengembangan pendidikan Cina berbanding dengan masyarakat india yang tidak mempunyai persatuan khas.
Walau bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa Laporan Barnes dan Laporan Fenn Wu telah mencetuskan perasaan tidak puas hati dalam kalangan masyarakat India khususnya guru-guru sekolah Tamil dan akhbar-akhbar Tamil. Hal ini kerana mereka berasa bimbang bahawa jika sekolah Tamil ditutup lalu menyebabkan bahasa, sastera dan budaya Tamil akan terpupus. Perasaan tidak puas ini beralutan dan menyebabkan MIC tampil sebagai pemimpin masyarakat India lalu menuntut sebuah jawatankuasa khas sama seperti Laporan Barnes dan Laporan Fenn-Wu bagi menyiasat pendidikan Tamil dan sekolah Tamil. Namum, pihak kerajaan memandang enteng perkara tersebut menyebabkan MIC mengelolakan satu persidangan persatuan orang India pada Julai 1951 bagi membincangkan permasaalahan pendidikan Tamil.
Rentetan daripada persidangan tersebut, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan yang diketuai oleh presiden MIC dan mempunyai 25 orang ahli yang terdiri daripada wakil persatuan-persatuan sosial, politik dan kesatuan sekerja. Pada 31 Ogos 1951, satu memorandum telah diberikan kepada pihak kerajaan setelah mengakaji implikasi Laporan Barnes terhadap pendidikan Tamil dan sekolah Tamil. Antara cadangan yang telah dikemukakan adalah supaya pihak kerajaan tidak menggubal sebarang dasar pendidikan tanpa memberi pertimbangan kepada pandangan masyarakat India. Oleh itu, sekolah Tamil dikekalkan tetapi melakukan beberapa perubahan kecil iaitu bahasa Melayu diperkenalkan pada tahun ketiga dan bahasa Inggeris diperkenalkan pada tahun keempat. Disamping itu, terdapat juga cadangan yang bahasa Tamil digunakan sehingga tahun kelima sahaja dan digantikan dengan bahasa Inggeris pada tahun enam.
Cadangan yang telah dikemukakan oleh jawatankuasa ini adalah bertujuan untuk menyelamatkan sekolah Tamil dan dalam masa yang sama dapat mempertingkatkan prestasi sekolah Tamil. Namun, tidak dinafikan bahawa syor yang telah dikemukakan ini telah menghadkan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantara sehingga darjah lima sahaja merupakan satu kontradiksi. Hal ini akan menyebabkan akan berlaku pertukaran aliran sekolah Tamil secara perlahan tetapi tidak berlaku penentangan dalam kalangan masyarakat elit India. Sementara itu, pihak kerajaan tetap tidak menghiraukan aspirasi masyarakat India lalu tidak mengendahkan memorandum yang atau cadangan yang telah dinyatakan.

ORDINAN PELAJARAN 1952

Setelah beberapa langkah yang diusahakan dalam pembangunan pendidikan Tamil di Tanah Melayu bagi memastikan perpaduan kaum wujud di Tanah Melayu seakan-akan tidak Berjaya maka tertubuhlah satu lagi jawatankuasa yang dinamai dengan Ordinan Pelajaran 1952. Ordinan ini merupakan ordinan pelajaran pertama di Tanah Melayu yang membawa kerisauan dalam kalangan masyarakat India dan Cina. Ordinan ini telah bertanggungjawab untuk mengkaji Laporan Barnes dan Laporan Fenn-Wu dan mengesyorkan pula beberapa langkah bagi mengatasi permasaalahan yang wujud dalam laporan sebelum ini. Antara syornya adalah penubuhan dua jenis sekolah menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar, pelajaran bahasa Cina dan bahasa Tamil akan disediakan jika ada sekurang-kurangnya 15 orang murid yang ingin belajar bahasa tersebut.
Syor-syor yang telah dicadangkan sememangnya memberikan ancaman yang besar kepada sekolah Tamil kerana tidak mempunyai sebarang bantuan jika syor ini dilakukan. Berbanding dengan sekolah Cina yang akan terus wujud tanpa bantuan kerajaan kerana dibiayai oleh masyarakatnya sendiri. Manakala sekolah Tamil yang bergantung harap kepada kerajaan dalam pembiayaan sekolah mereka menyebabkan lama kelamaan sekolah Tamil akan lenyap. Menurut Tamil Nesan dalam akhbarnya bertarikh 2 Ogos 1953, MIC telah mengkritik Ordinan tersebut dan melancarkan kempen untuk menentangnya. Parti MIC telah mempelawa MCA supaya berpadu tenaga dalam memperjuangkan isu pendidikan tetapi telah ditolak. Maka tanpa sokongan MCA, penentangan yang dibuat oleh MIC terhadap Ordinan Pelajaran 1952 lenyap begitu sahaja. Disebabkan oleh beberapa masalah, ekoran daripada bantahan kaum China dan India, kekurangan guru dan masalah kewangan, maka ordinan ini tidak dapat dilaksanakan.

LAPORAN JAWATANKUASA PELAJARAN 1956

Selepas Parti Perikatan mencapai kemenangan dalam pilihanraya pertama di Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1955, pelbagai langkah diambil untuk mengkaji semula Dasar Pendidikan negara ini. Sebuah Jawatankuasa Pendidikan yang dipengerusikan oleh Allahyarham Tun Haji Abdul Razak selaku Menteri Pelajaran ditubuhkan pada tahun 1955. Tujuan jawatankuasa yang diketuai oleh Dato’ Razak ialah untuk mengenalkan satu sistem pendidikan yang akan menyatukan murid-murid yang berbilang bangsa di bawah satu sistem pendidikan kebangsaan yang akan menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantaraan.
Jawatankuasa ini mengandungi wakil daripada ketiga-tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India. Laporan Jawatankuasa Pelajaran 1956 yang juga dikenali sebagai Laporan Razak merupakan usaha pertama ke arah memupuk integrasi sosial melalui pendidikan. Laporan Razak muncul pada April 1956, dan merupakan yang diambil dari Majlis Perundangan. Dalam laporan ini mencadangkan kurikulum yang sama dan yang “bercorak Tanah Melayu” bagi semua sekolah rendah termasuk sekolah Cina dan sekolah Tamil. Sukatan pelajaran dan jadual waktu yang sama ditekankan. Selain itu juga, menurut Laporan Razak ini semua guru-guru sekolah rendah dimestikan menerima latihan yang sama. Oleh itu, guru sekolah Tamil ini tidak terkecuali untuk menerima latihan perguruan ini. Bagaimanapun Laporan Razak tidak menghalang kewujudan sekolah rendah Cina dan Tamil. Sekolah-sekolah rendah Cina dan Tamil dibenarkan berterusan. Laporan ini juga mencadangkan bahawa menyatukan sekolah-sekolah Tamil yang kecil di sesuatu kawasan.
Semua sekolah rendah diklasifikasikan kepada dua jenis sekolah iaitu Sekolah Umum (Sekolah Kebangsaan) dan Sekolah Jenis Umum (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil). Cadangan ini merupakan satu tolak ansur untuk mengekalkan perpaduan semua kaum di negara ini memandangkan Tanah Melayu dalam proses mendapat kemerdekaan. Bagaimanapun Laporan Razak juga tidak dapat menyelesaikan isu dan masalah meletakan semua murid pelbagai kaum di bawah sekolah rendah yang sama seperti dicadangkan oleh Laporan Barnes.
Sebaliknya pendidikan sekolah rendah masih lagi mengikut aliran-aliran tertentu dengan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah ini sehingga sekarang. Laporan Razak dengan jelas memberi penekanan kepada perpaduan negara sebagai satu matlamat yang perlu dicapai. Ini bermakna bahawa unsur-unsur dan nilai-nilai perpaduan dijadikan teras dasar pendidikan kebangsaan untuk menjamin kesejahteraan dan kepentingan masyarakat Tanah Melayu yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik. Oleh kerana masyarakat di Malaysia berupa masyarakat majmuk, maka perpaduan yang diwujudkan mesti berupaya menangkis gejala-gejala yang boleh memecah belahkan rakyat.
Menurut Komathy Krisnarajoo, saya rasa Laporan Razak berjaya memperkenalkan satu dasar pendidikan yang bersifat kebangsaan dalam skopnya. Tetapi sejauh manakah cadangan-cadangan diusahakan menjadi soal penting. Menurut kata N.J Colletta, “ Althought the Razak Report has sought to redress equal opportunity among the Malayan masses throught educational reform, the fact remains that plantation children have yet to derive maximum profit from such reform”. Walaupun demikian, Laporan Razak dikatakan sebagai turning point bagi sekolah Tamil. Laporan Razak merupakan asas kepada pendidikan dan sistem sekolah pada hari ini. Terdapat perubahan besar dalam kurikulum sekolah Tamil dan membawa kepada perkembangan sekolah Tamil selepas 1957. Laporan Razak telah disusun semula selepas enam tahun dilaksanakan.

KESIMPULAN

Kesimpulanya, pendidikan Tamil merupakan salah satu pendidikan yang telah wujud sebelum negara mencapai kemerdekaan. Namun begitu, sistem Pendidikan Tamil pada awalnya tidak mendapat sambutan daripada masyarakat India hal ini kerana mereka tidak mementingkan pelajaran serta masyarakat yang ada pada masa tersebut merupakan masyarakat yang buta huruf. Selain itu, terdapat juga beberapa kekurangan daripada pengurusan dan pentadbiran sistem pendidikan menyebabkan sekolah Tamil tidak begitu berkembang. Namun begitu, dari semasa ke semasa pendidikan Tamil mula mendapat perjatian masyarakat hasil daripada beberapa perubahan dan peningkatan sistem pendidikan seperti latihan perguruan sekolah Tamil. Ini amat berbeza semasa zaman awal penubuhan sekolah Tamil yang hanya mengambil guru yang tidak mendapat latihan. Telah wujud juga sistem peperiksaan yang dapat mengukur pemahaman pelajar. Jika sebelum ini sekolah hanya mengajar pelajar untuk pandai membaca, menulis dan mengira tetapi setelah berlakunya perkembangan sistem pendidikan mula mengadakan sistem peperiksaan. Pelbagai usaha yang dilakukan dalam proses untuk memajukan sekolah Tamil antaranya ialah terdapatnya buku teks dan pakaiana seragam. Perkara-perkara ini mampu untuk meningkatkan semangat pelajar untuk belajar dengan lebih baik. Dasar British telah menyebabkan masyarakat Melayu, Cina dan India terpisah. Oleh itu tedapat beberaapa langkah yang diambil dalam memastikan penyatuan sistem pendidikan berlaku ialah dengan kemunculan Laporan Barnes pada tahun 1950. Selain itu, sebuah jawatankuasa yang diketuai oleh Dato’ Razak telah dibentuk untuk mengenalkan satu sistem pendidikan yang akan menyatukan murid-murid yang berbilang bangsa di bawah satu sistem pendidikan kebangsaan yang akan menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantaraan. Justeru itu, bidang pendidikan mula diberikan perhatian dalam memupuk identiti kebangsaan di Tanah Melayu









0 comments:

Post a Comment